ST lupus 2,022 barangan rampasan bernilai RM2.2 juta

Akmal Nasrullah melakukan gimik pelupusan barangan rampasan di pusat pembuangan dan pelupusan logam di Balakong, Selangor pada Rabu. Foto ST
Akmal Nasrullah melakukan gimik pelupusan barangan rampasan di pusat pembuangan dan pelupusan logam di Balakong, Selangor pada Rabu. Foto ST
A
A
A

PUTRAJAYA - Suruhanjaya Tenaga (ST) melupuskan 2,022 barangan rampasan bernilai RM2.2 juta termasuk 349 unit mesin bitcoin.

ST dalam satu kenyataannya berkata, barangan rampasan lain yang turut dilupuskan adalah kelengkapan elektrik yang terdiri daripada kelengkapan tanpa label keselamatan ST-SIRIM sebanyak 1,219 unit, kelengkapan elektrik daripada kes kecurian elektrik (445 unit) dan barangan lain yang terlibat dalam kes-kes kemalangan elektrik (sembilan unit).

Menurut kenyataan itu, ST telah mendapat arahan melupuskan barangan rampasan daripada Timbalan Pendakwa Raya di bawah Seksyen 406A dan 407 Kanun Prosedur Jenayah (Akta 593).

Tambah kenyataan itu, ia membabitkan sejumlah 46 kertas siasatan oleh ST yang telah selesai melalui proses mahkamah dan kompaun.

"Mesin bitcoin yang dilupuskan merupakan hasil barangan yang dirampas semasa operasi serbuan bersepadu, Ops Renjat yang telah dijalankan oleh ST di lima premis tidak berpenghuni pada Oktober 2022.

"Berlaku pengusikan dengan cara sambungan pintasan haram terus tanpa melalui meter telah menyebabkan kerugian melebihi RM1.3 juta kepada pihak utiliti.

Sebahagian barangan rampasan bernilai RM2.2 juta dilupuskan ST. Foto ST
Sebahagian barangan rampasan bernilai RM2.2 juta dilupuskan ST. Foto ST

"Manakala barangan lain yang dilupuskan merupakan kelengkapan elektrik yang dirampas oleh ST pada operasi penguatkuasaan," kata kenyataan itu pada Rabu.

Artikel Berkaitan:

Majlis pelupusan barangan yang diadakan di pusat pembuangan dan pelupusan logam di Balakong, Selangor itu turut dihadiri oleh Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (Petra), Akmal Nasrullah Mohd Nasir.

Hadir sama, Ketua Pegawai Operasi ST, Ir Dr Sanjayan Velautham dan Pengarah Jabatan Penguatkuasaan dan Operasi Kawasan ST, Ismail Zaili Yusop.

Menurut kenyataan itu, ST telah melantik sebuah syarikat yang berlesen dengan Jabatan Alam Sekitar bagi memastikan pelaksanaan sistem pengurusan e-waste dikendalikan secara lestari.

Jelas kenyataan itu, ia sebagai mematuhi keperluan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005.

"Pengurusan barangan kes melibatkan proses pengasingan antara sisa terjadual serta sisa yang boleh dikitar semula dan sampah.

"Barangan-barangan tersebut akan dihantar kepada pembeli serta fasiliti pemprosesan lengkap jadual berdasarkan pengasingan yang telah dilaksanakan," kata kenyataan itu.

Untuk makluman lanjut, orang ramai boleh melayari laman sesawang ST di www.st.gov.my atau menghubungi di talian 03-8870 8500.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!