Terengganu sasar penghasilan sumber tenaga solar 5 tahun akan datang

Ahmad Samsuri (kiri) ketika Majlis Pelancaran Loji Janakuasa Solar Cypark Solar Merchang pada Rabu.
Ahmad Samsuri (kiri) ketika Majlis Pelancaran Loji Janakuasa Solar Cypark Solar Merchang pada Rabu.
A
A
A

MARANG - Kerajaan Terengganu menyasarkan penghasilan sumber tenaga solar sebanyak satu gigawatt (GW) pada tempoh lima tahun akan datang.

Menteri Besarnya, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menyatakan sebagai permulaan, projek solar terapung di Tasik Kenyir, Hulu Terengganu adalah berkapasiti 400 Megawatt (MW).

"Fasa berikutnya untuk projek itu adalah sebanyak 600 MW yang akan membawa kapasiti tenaga solar di Terengganu kepada 1 GW dalam tempoh lima tahun akan datang.

"Sasaran ini juga merangkumi peningkatan kapasiti penjanaan tenaga boleh baharu kepada sekurang-kurangnya 31 peratus daripada jumlah keseluruhan kapasiti penjanaan tenaga negara menjelang tahun 2025.

"Ini juga dapat mengurangkan intensiti pelepasan karbon sebanyak 45 peratus berbanding KDNK pada tahun yang sama," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Loji Janakuasa Solar Cypark Solar Merchang di sini pada Rabu.

Turut hadir, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang merasmikan majlis berkenaan serta Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.

Mengulas lanjut, Ahmad Samsuri menyatakan ketika ini, jumlah penjanaan tenaga boleh diperbaharui semasa di Terengganu adalah sebanyak 1012 Megawatt (MW) meliputi solar (333.213 MW), hidro (665 MW), mini hidro (8.7 MW) dan biogas (6 MW).

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, kerajaan negeri yakin bahawa dengan adanya sokongan padu daripada kerajaan Persekutuan, pihak swasta dan masyarakat setempat maka sasaran tenaga boleh baharu yang telah ditetapkan akan tercapai.

Menurutnya, pembinaan tenaga boleh baharu ini akan memberikan manfaat rantaian ekonomi kepada masyarakat setempat, melalui penciptaan peluang pekerjaan dan peluang perniagaan, keperluan tenaga kerja dengan menyediakan peluang latihan dan peningkatan kemahiran kepada penduduk setempat.

"Terengganu akan sentiasa mendukung dan menyokong usaha-usaha dalam bidang tenaga boleh baharu.

"Selain itu, kerajaan negeri juga komited untuk memperkenalkan lebih banyak insentif dan dasar yang mesra alam bagi menarik lebih banyak pelaburan dalam sektor tenaga boleh baharu sebagai salah satu kaedah untuk menjana pendapatan negeri menerusi kerjasama equity dengan syarikat berkaitan negeri (GLC) dari Terengganu sendiri," jelas beliau.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!