Pas Kedah pertahan dasar tutup premis judi
ALOR SETAR - Pas Kedah mempertahankan dasar penutupan premis dan kedai perjudian di negeri ini serta menyifatkannya sebagai tindakan yang tepat oleh kerajaan negeri.
Pesuruhjayanya, Datuk Ahmad Yahaya berkata, parti itu maklum keputusan Mahkamah Tinggi Alor Setar yang membenarkan semakan kehakiman terhadap tindakan Kerajaan Negeri Kedah menghentikan premis dan kedai perjudian di Negeri Kedah bermula 1 Januari 2023 lalu.
Menurutnya, Pas Kedah kesal dengan tindakan syarikat perjudian yang hanya memikirkan keuntungan sendiri sehingga mengetepikan kesan ketagihan judi yang telah merosakkan keharmonian dan keutuhan bermasyarakat dalam negeri ini.
"Alasan yang dikemukakan syarikat judi tersebut bahawa tindakan menghapuskan aktiviti perjudian itu tidak mempertimbangkan kepelbagaian kaum di negeri ini sebenarnya jelas tersasar.
"Agama dan budaya mana yang membenarkan penganutnya berjudi? Sudah tentu tidak ada. Bahkan ia tidak membawa sebarang kebaikan melainkan semata-mata keuntungan yang dibolot oleh operator premis judi berkenaan," katanya dalam satu kenyataan.
Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berkata, perkara tersebut berada di bawah kuasa kerajaan negeri melalui pihak berkuasa tempatan (PBT).
Jelasnya, garis pemisah perundangan kerajaan kegeri dan Kementerian Kewangan dalam hal ini juga dilihat jelas.
"Pas Kedah menyokong langkah kerajaan negeri untuk menggunakan jalan perundangan bagi mempertahankan keputusan yang dibuat itu.
"Perkara yang menjadi kebaikan kepada rakyat keseluruhannya wajar sentiasa menjadi keutamaan bagi sesebuah kerajaan negeri yang bertanggungjawab," ujarnya lagi.
Sebelum ini, media melaporkan Mahkamah Tinggi Alor Setar pada 20 Jun lalu telah membenarkan permohonan semakan kehakiman dibuat bagi menghalang tindakan kerajaan negeri mengharamkan aktiviti perjudian berlesen.
Difahamkan, kerajaan negeri Kedah memfailkan permohonan menangguhkan pelaksanaan keputusan itu, sementara menunggu rayuan di Mahkamah Rayuan.
Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah pada 14 November 2021, mengumumkan negeri itu tidak lagi memberi kelulusan lesen premis perjudian, selain mengehadkan jualan arak di seluruh negeri itu.
Semua operasi premis perjudian dan loteri di Kedah ditamatkan sepenuhnya mulai 1 Januari 2023 dan tidak ada lagi lesen perjudian yang diperbaharui selepas tarikh tersebut.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!