Kerajaan Persekutuan tak pinggirkan Terengganu - PM
MARANG - Kerajaan Persekutuan menyalurkan peruntukan sebanyak RM7.23 bilion kepada negeri Terengganu pada tahun ini untuk melaksanakan pelbagai projek pembangunan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, jumlah itu menunjukkan pertambahan berbanding RM5.99 bilion yang telah disalurkan pada tahun 2022.
Menurutnya, ia menunjukkan bahawa kerajaan tidak pernah meminggirkan dalam menyalurkan peruntukan pembangunan di Terengganu walaupun dipimpin parti politik yang berbeza.
"Sebelum saya menjadi Perdana Menteri, keseluruhan perbelanjaan mengurus agensi Persekutuan, pemberian pada negeri dan pembangunan negeri Terengganu adalah sebanyak RM5.9 bilion.
"Pada tahun 2024, jumlah itu kita tambah daripada RM5.9 bilion iaitu hampir RM6 bilion kepada RM7.23 bilion untuk keseluruhan pembangunan Persekutuan dan projek negeri... maksudnya bertambah.
"Tak berapa benar Terengganu tak diberi perhatian. Dalam kerajaan pimpinan, saya beri jaminan pada Menteri Besar kalau ada cadangan yang baik dan selari dengan dasar bersama, kita akan laksanakan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Loji Janakuasa Solar Cypark Solar Merchang di sini pada Rabu.
Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof dan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar
Mengulas lanjut, Anwar menyatakan terdapat beberapa bidang yang menjadi keutamaan untuk setiap peruntukan disalurkan.
"Semua negeri pun begitu...kepimpinan kerajaan Persekutuan daripada Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, menteri-menteri kanan, ketua setiausaha semua duduk bersama dengan kerajaan negeri bagi membincangkan keutamaan tersebut.
"Kadang-kadang keutamaan di peringkat kerajaan Persekutuan tidak sama dengan kerajaan negeri...kita ubah suai untuk memenuhi keperluan tersebut," jelas beliau.
Dalam pada itu, Anwar berkata, keutamaan ketika ini adalah menjaga kepentingan rakyat serta menoktahkan kemiskinan tegar.
"Keutamaan yang sering saya tekankan mesti menyantuni rakyat paling susah, noktahkan kemiskinan tegar.
"Terima kasih kepada seluruh jentera negeri yang beri kerjasama baik dapat memenuhi matlamat tersebut.
"Keutamaan kerajaan adalah untuk mengurangkan beban rakyat, melaksanakan projek tebatan banjir yang penting untuk mengurangkan kehilangan harta benda dan menyelamatkan nyawa rakyat," ujarnya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!