PRK Nenggiri: Pas dijangka kemuka senarai calon Sabtu ini

Laporan Sinar Harian (kiri), Mohamed Fadzli
Laporan Sinar Harian (kiri), Mohamed Fadzli
A
A
A

KOTA BHARU - Pas Kelantan dijangka mengemukakan senarai calon yang akan bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri selepas Mesyuarat Jawatankuasa Pas Pusat Sabtu ini.

Timbalan Pesuruhjaya III Pas Kelantan, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, ia berikutan kepimpinan tertinggi parti belum lagi membuat keputusan mana-mana gabungan di bawah Perikatan Nasional (PN) yang akan bertanding.

“Kalau diikutkan Pas sudah ada nama beberapa calon tetapi tidak boleh diangkat sehingga betul-betul diketahui parti mana akan bertanding.

“Perkara itu dijangka dapat diketahui pada Mesyuarat Jawatankuasa Pas Pusat di Kuala Lumpur pada Sabtu ini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Mesyuarat Exco di Kompleks Kota Darul Naim pada Rabu.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan berkata, Pas Kelantan perlu mengemukakan nama calon ke peringkat pimpinan tertinggi terlebih dahulu sebelum menghantar nama tersebut kepada kepimpinan PN.

“Selepas itu, peringkat pimpinan PN pula akan diputuskan calon bertanding dan proses itu belum bermula.

“Jika nak dikirakan, ramai yang layak jadi calon Pas, ada di peringkat ulama, kawasan atau pemuda, tetapi kami tidak boleh mendahului kepimpinan,” katanya.

Media sebelum itu melaporkan, gabungan PN dari Parti Peribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dijangka memuktamadkan calon mereka minggu depan dengan lebih tiga nama dihantar kepada pucuk pimpinan parti itu untuk dinilai.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!