Menteri adakan pertemuan dengan CLO HRD Corp


Merle (kanan) dilihat keluar dari Blok Ahli Parlimen di Kuala Lumpur dipercayai selepas mengadakan perjumpaan bersama Steven.
Merle (kanan) dilihat keluar dari Blok Ahli Parlimen di Kuala Lumpur dipercayai selepas mengadakan perjumpaan bersama Steven.
A
A
A

KUALA LUMPUR – [DIKEMAS KINI] Tiga individu dipercayai daripada Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia (HRD Corp) dilihat hadir di bangunan Parlimen pada Rabu bagi mengadakan pertemuan dengan Menteri Sumber Manusia, Steven Sim.

Salah seorang daripadanya ialah Ketua Pegawai Undang-undang dan Setiausaha Syarikat HRD Corp, Merle Fernandez berdasarkan tag nama yang dipakainya.

Merle turut membawa bersama beg bimbit yang dipercayai dokumen berkaitan agensi kerajaan itu.

Difahamkan, kehadiran mereka bagi menghadiri mesyuarat turut disertai Steven yang pada awalnya dijadualkan berlangsung jam 11.45 pagi.

Dalam mesej yang diterima media, pertemuan itu membabitkan Steven bersama wakil Kementerian Kewangan (MoF) dalam Lembaga Pengarah HRD Corp, Datuk Rosli Yaakub bagi membincangkan isu berkaitan pendedahan Jabatan Audit Negara dan Laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).

Ketiga-tiga pegawai HRD Corp itu dilihat meninggalkan bangunan Parlimen pada jam 1.35 tengah hari sementara Steven kira-kira jam 2 petang.

HRD Corp kini berdepan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) susulan pendedahan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Siri 2/2024 dan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) pada minggu lepas.

Laporan PAC mendedahkan, sejumlah RM3.77 bilion hasil kutipan levi daripada majikan digunakan Program Latihan HRD Corp untuk melabur dalam pelbagai aktiviti pelaburan yang bukan merupakan matlamat penubuhan agensi itu.

Artikel Berkaitan:

LKAN pula antara lain mendedahkan sejumlah RM4.81 juta baki geran pada tahun 2020 yang tidak digunakan dan belum dikembalikan kepada kerajaan, selain sebanyak 62 permohonan levi berjumlah RM1.68 juta diluluskan selepas tarikh latihan serta baki levi tertunggak berjumlah RM205.42 juta setakat 31 Disember lalu.

Steven dalam satu kenyataan pada Rabu pula memaklumkan, Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) melantik juruaudit profesional pihak ketiga untuk menjalankan audit bebas terhadap agensinya, HRD Corp.

Jelasnya, audit bebas itu akan meneliti segala proses, prosedur, dokumentasi dan kepatuhan terhadap undang-undang serta garis panduan yang dibangkitkan dalam laporan Jabatan Audit Negara (JAN) dan PAC.

Kesuma kini dalam proses perolehan untuk pelantikan juruaudit tersebut dan proses perolehan dijangka selesai selewat-lewatnya pada 31 Julai ini.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!