Perak sudah terima royalti perlombongan RM30.88 juta

Saarani semasa menjawab soalan lisan Nga Kor Ming (PH-Kepayang) dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak pada Rabu.
Saarani semasa menjawab soalan lisan Nga Kor Ming (PH-Kepayang) dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak pada Rabu.
A
A
A

IPOH - Kerajaan Perak sudah menerima RM30.88 juta royalti perlombongan unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE) lantanid di Mukim Kenering, Gerik.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, jumlah itu hasil eksport 8,157.340 metrik tan nadir bumi karbonat (REC) ke negara China melalui 24 kali penghantaran bermula Februari 2023 sehingga Mei lalu.

"Tumpuan khusus kerajaan negeri dalam membangunkan industri mineral sebagai sumber hasil baharu telah menunjukkan kejayaan yang sangat signifikan.

"Malah dari segi kutipan royalti keseluruhan bahan mineral di Perak telah meningkat kepada RM129,496,825.21 tahun lalu berbanding RM101,532,294.32 pada 2022," katanya menjawab soalan lisan Nga Kor Ming (PH-Kepayang) dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di sini pada Rabu.

Beliau berkata, peningkatan itu dibantu urus tadbir negeri yang baik dan kesepakatan anggotanya di bawah pimpinan Kerajaan Perpaduan.

Katanya, sikap politik matang ditunjukkan barisan Exco untuk bergerak sederap bersama seluruh anggota pentadbiran kerajaan negeri penting untuk menjayakan pelan Perak Sejahtera 2030 termasuklah bagi merealisasikan projek-projek berimpak tinggi yang sedang giat dilaksanakan untuk memacu ekonomi negeri.

"Hari ini genap 597 hari usia Kerajaan Perpaduan Perak yang dibentuk pada 21 November 2022.

"Meskipun terbentuk di tengah-tengah kebuntuan politik pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Kerajaan Perpaduan Perak telah membuktikan kesungguhan dalam memelihara kesantunan berkerajaan untuk membawa negeri itu kembali ke landasan kestabilan.

Artikel Berkaitan:

"Perkara ini sekali gus membolehkan negeri mencatatkan kejayaan demi kejayaan yang signifikan meliputi aspek ekonomi, sosial dan politik," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!