RUU Perlindungan Data Peribadi dibentang di Dewan Rakyat
KUALA LUMPUR - Rang Undang-Undang (RUU) Perlindungan Data Peribadi (Pindaan) 2024 yang antaranya bertujuan menaikkan kadar denda daripada RM300,000 kepada RM1 juta bagi kesalahan dilakukan pengawal data atau pemproses data yang melanggar prinsip perlindungan data peribadi, dibentangkan untuk bacaan kali pertama pada persidangan Dewan Rakyat pada Rabu.
Menteri Digital, Gobind Singh Deo ketika membentangkan RUU itu turut memaklumkan ia akan dibentangkan untuk bacaan kali kedua pada sesi mesyuarat Dewan Rakyat yang sama.
Menurut naskhah biru disiarkan di laman sesawang Parlimen, RUU berkenaan antara lain bertujuan meminda Seksyen 5 Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 (Akta 709) seperti pada perenggan 5(a) untuk memperuntukkan bahawa seseorang pemproses data hendaklah mematuhi Prinsip Keselamatan di bawah Seksyen 9 Akta 709.
"Perenggan 5(b) pula bertujuan menaikkan kadar denda bagi kesalahan yang dilakukan oleh pengawal data atau pemproses data yang melanggar Prinsip Perlindungan Data Peribadi masing-masing di bawah subseksyen 5(1) dan (1a) Akta 709," menurut naskhah biru itu.
RUU itu juga bagi menambah baik peruntukan yang berhubung dengan pemprosesan data peribadi supaya selaras dengan standard dan amalan antarabangsa.
Selain itu, ia juga bertujuan memasukkan seksyen baharu 43A ke dalam akta tersebut untuk mengadakan peruntukan bagi hak kemudahalihan data kepada subjek data tertakluk kepada kebolehlaksanaan teknikal dan keserasian format data.RUU berkenaan juga untuk meminda Seksyen 67 di bawah akta itu bagi memperuntukkan bahawa tatacara membuka dan menyenggara mana-mana akaun bank hendaklah dikendalikan mengikut cara yang dibenarkan oleh pesuruhjaya.
Sementara itu, dalam sidang media di Parlimen hari ini, Gobind berkata, pindaan terhadap Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 menunjukkan kerajaan memandang serius keperluan melindungi data yang memainkan peranan penting dalam teknologi baharu seperti kecerdasan buatan (Al).
"Pindaan ini berniat memastikan tiada data digunakan tanpa persetujuan pemilik data tersebut dan untuk mengelakkan berlakunya penyalahgunaan data semasa penggunaan platform digital sedia ada dan yang bakal diwujudkan pada masa hadapan,” katanya.
Beliau yang berharap mendapat sokongan Ahli Parlimen supaya RUU itu diluluskan dalam sesi mesyuarat Dewan Rakyat kali ini, turut berkata segala pendapat atau cadangan dikemukakan semasa perbahasan akan disambut baik pihaknya bagi memperkasa akta itu.
Mengenai jumlah aduan penyalahgunaan dan pelanggaran data peribadi, Gobind berkata, Pejabat Pesuruhjaya Perlindungan Data Peribadi (PDP) menerima 288 aduan setakat Jun lepas berbanding 779 aduan sepanjang tahun lepas.
"Walaupun secara purata terdapat sedikit penurunan atas usaha penguatkuasaan berterusan oleh Pejabat Pesuruhjaya PDP, angka statistik ini masih membimbangkan,” katanya.- Bernama
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!