[VIDEO] Bersatu lantik peguam teliti keputusan Speaker Dewan Rakyat

A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan melantik peguam bagi membolehkan tindakan perundangan diambil susulan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul menolak permohonan parti itu supaya kerusi enam ahli Parlimennya yang berpaling tadah dikosongkan.

Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, peruntukan Perkara 49A(1)(a)(ii) Perlembagaan Persekutuan menyatakan dengan jelas bahawa kerusi ahli Parlimen hendaklah dikosongkan jika dia tidak lagi menjadi anggota parti politik tersebut setelah dipilih ke Dewan Rakyat.

"Saya menyeru Yang Berhormat Speaker untuk menegakkan tujuan dan hasrat sebenar peruntukan 49A Perlembagaan Malaysia yang bertujuan mengekang perbuatan-perbuatan khianat ahli Dewan Rakyat yang menodai mandat rakyat semasa pilihan raya.

"Seperti mana kata-kata Yang Berhormat Speaker semasa beliau menjadi pembangkang yang dipetik dalam hansard Dewan Rakyat bertarikh 27 Julai 2022 di muka surat 85, ketika membahaskan Rang Undang-undang (RUU) Pindaan Perlembagaan bagi menghalang ahli Parlimen melompat parti.

"Beliau yang mana ketika itu dipetik berkata, inilah satu-satunya undang-undang yang boleh menyekat kita daripada terus menjahanamkan negara kita. Tidak kiralah sama ada sebelah sini (pembangkang) atau sebelah sana (kerajaan) tetapi ini harus terhenti di sini.

"Namun, hakikatnya keputusan Yang Berhomat Speaker ini sendiri telah mengkhianati semangat dan hasrat murni pindaan Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan bagi menghalang ahli Parlimen melompat parti," katanya ketika sidang akhbar khas di Parlimen pada Rabu.

Sidang akhbar itu turut dihadiri sebahagian besar ahli Parlimen blok pembangkang termasuk Ketua Pembangkang yang juga Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin; Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man; Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu (Bersatu), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal dan Ronald.

Artikel Berkaitan:

Muhyiddin (tengah) ketika sidang akhbar di Parlimen pada Rabu.
Muhyiddin (tengah) ketika sidang akhbar di Parlimen pada Rabu.

Enam Ahli Parlimen Bersatu yang menyatakan sokongan kepada Anwar ialah Ahli Parlimen Tanjong Karang, Datuk Zulkafperi Hanapi; Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang); Zahari Kechik (Jeli); Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang); Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Ahli Parlimen Labuan, Datuk Suhaili Abdul Rahman.

Atas faktor tindakan tidak wajar yang diputuskan Johari itu, Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) berkata, Bersatu memutuskan untuk mengambil langkah susulan dengan melantik pakar-pakar perundangan untuk mengambil tindakan sewajarnya bagi menegakkan Perlembagaan Persekutuan dan perlembagaan partinya.

"PN mengingatkan semua parti politik dan ahli Dewan Rakyat bahawa kita telah meluluskan pindaan perkara 49A secara sebulat suara. Maka, tindakan Yang Berhormat Speaker membuat tafsiran yang mencemar peruntukan lompat parti tersebut harus dicela," katanya.

Ketua Whip Bersatu, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee sebelum ini dilapor telah menghantar surat kepada Johari memohon supaya enam kerusi ahli Parlimen parti itu yang isytihar menyokong kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dikosongkan kerana keahlian mereka telah terhenti serta-merta.

Azizi, Zahari, Syed Hussin, Zulkafperi dan Iskandar terlucut keahlian kerana gagal menjawab surat arahan bertulis Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu untuk menzahirkan ikrar taat setia selain terus menyokong Anwar.

Manakala, keahlian Suhaili pula terhenti kerana memfailkan saman ke atas Bersatu pada 19 Disember tahun lalu.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!