'Tutup pintu pagar bukan tutup balai polis' - Saifuddin

Saifuddin ketika ditemui pemberita selepas hadir pada Majlis Ramah Mesra Perdana Menteri bersama warga Kementerian Dalam Negeri di IPD Marang pada Rabu.
Saifuddin ketika ditemui pemberita selepas hadir pada Majlis Ramah Mesra Perdana Menteri bersama warga Kementerian Dalam Negeri di IPD Marang pada Rabu.
A
A
A

MARANG - Kenyataan berhubung pintu pagar balai polis ditutup selepas jam 10 malam bukan bermaksud menutup keseluruhan operasi balai polis di negara ini selain orang ramai masih boleh hadir untuk membuat laporan di premis berkenaan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menjelaskan penutupan pintu pagar tersebut bertujuan meningkatkan keselamatan selain mengekang potensi ancaman di premis berkenaan susulan insiden berlaku di Balai Polis Ulu Tiram, Johor baru-baru ini.

"Istilahnya adalah tutup pintu pagar dan bukannya tutup balai polis. Terdapat 810 balai polis di seluruh negara tetapi ada di antaranya yang berada di lokasi-lokasi di mana kawasan diklasifikasikan sebagai berisiko tinggi.

"Jadi dalam arahan tetap Ketua Polis Negara atau arahan pentadbiran memang sudah ada arahan supaya menutup pagar. Tetapi saya sebut sebelum ini adalah tutup pagar dan saya tak sebut pun tutup balai polis.

"Itu berbeza...kalau tutup pagar bermaksud tak adalah berlaku potensi ancaman yang mudah berlaku sebelum ini (Balai Polis Ulu Tiram) di mana suspek masuk naik motosikal, parkir motosikal di belakang, tetak polis dan tembak," katanya.

Saifuddin (tengah) selepas Majlis pertemuan Perdana Menteri bersama warga Kementerian Dalam Negeri di IPD Marang
Saifuddin (tengah) selepas Majlis pertemuan Perdana Menteri bersama warga Kementerian Dalam Negeri di IPD Marang

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir pada Majlis Ramah Mesra Perdana Menteri bersama warga Kementerian Dalam Negeri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Marang dekat sini pada Rabu.

Sebelum ini, Saifuddin menyatakan pintu pagar balai polis di seluruh negara akan ditutup selepas jam 10 malam sebagai langkah untuk memperketatkan keselamatan di premis berkenaan susulan insiden di Balai Polis Ulu Tiram, Johor baru-baru ini.

Artikel Berkaitan:

Saifuddin berkata, langkah itu diambil sebagai mengimbangi keperluan untuk masyarakat dan menjaga keselamatan anggota yang bertugas.

Mengulas lanjut, Saifuddin menegaskan kenyataan digunakannya merujuk garis panduan dan langkah berjaga-jaga bagi balai yang berada dalam kategori berisiko terhadap ancaman.

Menurutnya, orang ramai masih boleh hadir bagi membuat laporan polis selain tiada halangan untuk berbuat demikian.

"Kalau ada orang awam nak buat aduan tentulah anggota bertugas buka pintu pagar. Itu konteksnya tapi cara pihak tertentu 'spin' itu sangat tidak bertanggungjawab seolah-olah tutup balai polis.

"Penutupan pagar itu tidak menjejaskan sama sekali tugas hakiki balai polis iaitu untuk menerima aduan dan sebagainya. Ia tidak jejaskan tugas polis sama sekali," jelas beliau.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!