Raja Perlis tidak berkenan nama Majlis Raja-Raja digunakan sokong RUU Mufti

Tuanku Syed Sirajuddin
Tuanku Syed Sirajuddin
A
A
A

KANGAR - Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Tuanku Syed Putra Jamalullail bertitah baginda tidak berkenan nama Majlis Raja-Raja digunakan dalam usaha menyokong Rang Undang-Undang (RUU) Mufti (Wilayah Persekutuan).

Perkara tersebut dimaklumkan Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin melalui Facebook rasminya pada Rabu.

"Duli Yang Maha Mulia Tuanku Syed Sirajuddin Ibni al-Marhum Tuanku Syed Putra Jamalullail menitahkan saya memaklumkan bahawa baginda tidak berkenan nama Majlis Raja-Raja digunakan dalam usaha menyokong RUU Mufti Wilayah Persekutuan,” katanya dalam satu kenyataan.

Kenyataan Mohd Asri melalui Facebook pada Rabu.
Kenyataan Mohd Asri melalui Facebook pada Rabu.

Pada 2 Julai lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na'im Mokhtar membentangkan tiga RUU berkaitan hal ehwal Islam untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat merangkumi RUU Mufti (Wilayah Persekutuan) 2024, RUU Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah Persekutuan) (Pindaan) 2024 dan RUU Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Wilayah Persekutuan) (Pindaan) 2024.

RUU Mufti antaranya memperincikan mengenai penubuhan Jawatankuasa Fatwa Wilayah-Wilayah Persekutuan, Jawatankuasa Falak Syarie, Jawatankuasa Rukyah Hilal, Jawatankuasa Pengawasan Pengajaran Agama Islam dengan dipengerusikan mufti.

Sementara itu, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang pada Rabu dilaporkan berkata bahawa RUU Mufti (Wilayah Persekutuan) itu perlu kajian lebih mendalam.

Abdul Hadi berkata, ia berikutan terdapat berpuluh-puluh mazhab dalam Islam.

Artikel Berkaitan:

"RUU itu kena kaji secara mendalam sebab dalam Islam mazhabnya banyak, berpuluh-puluh dan luasnya ilmu Islam.

"Pandangan saya, semua ulama mazhab itu tak membenarkan mazhab mereka diisytiharkan,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!