Individu mahu jadi penguat kuasa perlu ada jati diri - PM
MARANG - Individu yang mahu menjadi penguat kuasa sama ada polis, tentera atau agensi penguatkuasaan lain perlu mempunyai serta memiliki nilai dan jati diri yang tinggi.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui tugas menjadi seorang penguat kuasa adalah mencabar selain mempunyai tanggungjawab yang besar.
"Kalau dengan latihan kecekalan maka nak jadi polis yang baik, ahli politik yang baik mesti dengan latihan dan nilai betul.
"Penguat kuasa perlu berdisiplin tinggi dengan semangat yang kental dan nilai yang baik bermula dari dalam diri, agenda perubahan kalau nak angkat martabat tak boleh dengan cara lama dan orang marah saya cakap pasal tatakelola, saya tak peduli," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis ramah mesra beliau bersama warga Kementerian Dalam Negeri Negeri Terengganu di Dewan Seri Kapas, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Marang di sini pada Rabu.
Turut hadir, Menteri Dalam Negeri, Datuk seri Saifuddin Nasution Ismail dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.
Anwar menambah, tindakan melakukan sesuatu jenayah juga dapat dikesan dalam masa yang singkat.
"Apabila ada pegawai yang terlibat sindiket jenayah dan kes rasuah, kesannya akan disaksikan dengan cepat," katanya.
Sementara itu, Anwar turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM1 juta bagi kos membaik pulih 20 kuarters polis di IPD Marang yang rosak.
"Peruntukan itu akan diluluskan pada minggu depan.
"Jadi saya berharap dapat memberi keselesaan kepada anggota yang bakal menghuni kuarters berkenaan," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!