Malaysia siap sedia sebagai Pengerusi ASEAN 2025, fokus tiga tonggak utama

Mohamad
Mohamad
A
A
A

KUALA LUMPUR - Malaysia bersiap sedia untuk menjadi Pengerusi ASEAN 2025 dengan tiga tonggak utama digariskan iaitu keselamatan dan politik, ekonomi, dan sosiobudaya, kata Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Beliau berkata, setakat Jun lepas, Malaysia telah menyusun atur sebanyak 257 mesyuarat peringkat tertinggi melibatkan pemimpin negara, menteri dan pegawai yang akan diadakan tahun hadapan.

"Ini satu penghormatan kepada Malaysia dan pelbagai program telah disiapkan. Kita telah mengenal pasti tempat-tempat dan Sekretariat Induk Logistik ASEAN (SILA) 2025 sebagai sekretariat utama akan memantau serta menguruskan logistik dan substantif,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, pada Rabu.

Beliau menjawab soalan asal Datuk Seri Amirudin Shari (PH-Gombak) mengenai persediaan kerajaan untuk menjadi Pengerusi ASEAN tahun depan, serta perkara utama yang ingin dicapai dalam tempoh Malaysia menjadi pengerusi.

Selain Jawatankuasa Pemandu yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Mohamad berkata, jawatankuasa peringkat menteri turut diwujudkan sebagai persediaan.

Menjawab soalan tambahan Amirudin mengenai cara Malaysia meningkatkan penyertaan rakyat kepada rakyat menerusi kepengerusian ASEAN 2025, Mohamad berkata, ia sememangnya menjadi hasrat kerajaan supaya faedah menjadi tuan rumah turut dirasai usahawan, dagangan dan negeri yang terlibat menerima tetamu untuk memperlihatkan kekayaan budaya serta sektor ekonomi negara.

Mohamad berkata, ia akan diperkasakan dengan penglibatan pihak swasta dan usahawan yang diuruskan Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN Malaysia untuk menganjurkan seminar serta libat urus. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!