Sembelih lembu ceroboh kebun durian, agih daging kepada penduduk

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

ALOR GAJAH - Berang kerana ternakan lembu milik orang lain merosakkan kebun duriannya, seorang wanita warga emas dengan menantu rakannya bertindak menyembelih haiwan berkenaan.

Daging lembu itu kemudiannya diagihkan kepada penduduk di Kampung Orang Asli Kubang Badak, Tebong di sini.

Bagaimanapun, perbuatan suspek berusia 69 tahun itu dan menantu rakannya yang merupakan lelaki warga Indonesia berusia 30-an terbongkar selepas pemilik lembu berkenaan menjumpai kepala haiwan itu yang sudah disembelih di kebun durian milik suspek.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Ashari Abu Samah berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang lelaki berusia 38 tahun pada jam 8.54 malam, Jumaat lalu berhubung kehilangan seekor lembu.

"Pengadu memberitahu seekor daripada 84 ekor lembu ternakannya telah hilang yang disyaki berlaku sekitar jam 5.30 petang 4 Julai lalu sehingga 6.30 petang Jumaat lalu.

“Ketika sedang mencari haiwan tersebut, dia terkejut apabila menjumpai satu kepala lembu mempunyai tag bernombor dikeluarkan Jabatan Veterinar yang merupakan miliknya berada di kebun durian suspek," katanya kepada pemberita pada Rabu.

Menurutnya, lelaki itu kemudiannya telah pergi ke rumah pemilik kebun terbabit bagi bertanyakan mengenai perkara berkenaan.

Ujarnya, seorang wanita warga emas mengaku lembu berkenaan telah disembelih oleh menantu rakannya.

Artikel Berkaitan:

"Ia kerana haiwan itu telah memakan tanaman duriannya.

"Berikutan itu, pengadu telah membuat laporan polis dan kejadian itu telah menyebabkannya kerugian kira-kira RM3,000," katanya.

Beliau berkata, pengadu turut mendakwa kira-kira 20 ekor lembu ternakannya telah hilang sejak setahun lalu.

Tambah Ashari, bertindak hasil laporan polis diterima, wanita warga emas dan lelaki warga Indonesia berkenaan ditahan di rumahnya kira-kira jam 7.30 malam, Sabtu lalu.

“Hasil siasatan, suspek turut mengaku daging lembu yang disembelih itu telah diagih kepada penduduk kampung.

“Kedua-dua suspek direman sehingga 10 dan 12 Julai ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379/428 Kanun Keseksaan," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!