Kaedah Sulh semakin diterima, bantu selesai konflik kekeluargaan

Mohd Na'im
Mohd Na'im
A
A
A

KUALA LUMPUR - Hampir 90 peratus daripada 11,921 kes konflik kekeluargaan yang didaftarkan oleh Majlis Sulh pada tahun lalu berjaya diselesaikan menerusi penyelesaian bersama antaranya melibatkan kaedah runding cara, mediasi, sesi kaunseling perkahwinan dan timbang tara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata, peningkatan (1.43 peratus) berbanding 2022 itu menunjukkan kaedah Sulh terbukti berkesan dalam menyelesaikan konflik kekeluargaan dan semakin diterima masyarakat.

Beliau berkata, penyelesaian pertikaian melalui Sulh juga telah memberi impak amat positif kepada jumlah kes-kes tertunggak di mahkamah-mahkamah syariah.

"Pihak-pihak yang bertikai juga akan mendapat keadilan dengan segera lantaran tempoh yang diambil untuk menyelesaikan sesuatu kes lebih singkat berbeza dengan penyelesaian melalui perbicaraan penuh di hadapan hakim.

"(Justeru) penyelesaian melalui perbicaraan di dewan-dewan mahkamah syariah selayaknya menjadi pilihan terakhir, kerana dengan cara perbicaraan, aib pihak-pihak akan terdedah, lebih teruk lagi ia meluaskan jurang permusuhan dan kasih sayang sesama insan,” katanya.

Na’im berkata demikian dalam ucapan sempena Program Sulh Outreach, dengan kerjasama Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur di sini pada Rabu.

Teks ucapan beliau dibacakan Ketua Pengarah dan Ketua Hakim Syarie JKSM, Datuk Mohd Amran Mat Zain.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard PDRM, Datuk Seri Azri Ahmad dan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf.

Artikel Berkaitan:

Majlis Sulh ialah sesi perundingan di antara dua pihak bertikai yang dipengerusikan oleh Pegawai Sulh dengan tujuan untuk mendapatkan persetujuan bersama dalam menyelesaikan suatu pertikaian secara damai tanpa perlu melalui proses perbicaraan di mahkamah. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!