'Kenapa kau buang anak itu?'

Polis membawa suspek lelaki bagi menunjukkan lokasi sebenar dia membuang mayat bayi perempuan ke Sungai Perak hari ini.
Polis membawa suspek lelaki bagi menunjukkan lokasi sebenar dia membuang mayat bayi perempuan ke Sungai Perak hari ini.
A
A
A

PARIT - Polis menahan sepasang kekasih yang disyaki telah membuang mayat bayi perempuan yang baru lahir ke Sungai Perak di Teluk Kepayang, Bota di sini hari ini.

Dalam kejadian itu, lelaki berusia 22 tahun yang bekerja sebagai penyelia kilang, bertindak demikian bagi menyembunyikan kelahiran bayi itu.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Barudin Wariso berkata, kejadian itu terbongkar selepas sepasukan polis menjalankan pemeriksaan apabila menerima laporan terdapat bau kurang menyenangkan di sebuah rumah di Taman Maju, Seri Iskandar di sini.

“Selepas memperkenalkan diri, suspek wanita berusia 22 tahun itu membuat pengakuan telah melahirkan bayi perempuan dalam bilik tidur rumahnya, Selasa lalu ketika kandungannya berusia tujuh bulan.

“Perkara itu tidak diketahui oleh keluarganya dan bayi tersebut didapati telah meninggal dunia. Suspek telah membungkus bayi tersebut dan menyimpan dalam almari selama tiga hari,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Menurutnya, suspek mengakui telah mengandung anak luar nikah selepas terlanjur bersama teman lelakinya.

“Wanita tersebut menyerahkan mayat bayi tersebut kepada teman lelakinya yang kemudiannya bertindak membuang ke Sungai Perak.

“Susulan itu, tangkapan dilakukan dan suspek lelaki mengakui telah membuang mayat bayi dengan cara menenggelamkan dengan empat biji batu bata pada jam 2 pagi,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Barudin berkata, khidmat pasukan bomba dipanggil bagi membantu mencari mayat bayi tersebut namun, sehingga kini masih gagal ditemui.

“Lokasi pencarian dilakukan berpandu arah yang ditunjukkan oleh suspek namun operasi menemui kegagalan sehingga lewat petang tadi.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan iaitu menyembunyikan kelahiran dengan cara membuang mayat secara sulit,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!