PKR Negeri Sembilan baik-baik sahaja - Aminuddin
SEREMBAN - Tiada sebarang pergolakan atau masalah dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) Negeri Sembilan seperti yang didakwa menerusi video tular di aplikasi TikTok.
Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun menegaskan dakwaan terbabit tidak benar sama sekali berikutan parti itu dalam keadaan baik-baik sahaja setakat ini.
"Semua jawatankuasa kita okay, dalam mesyuarat MPN semua hadir cuma saya tak tahulah itu dari grup mana sebab ketidakpuasan hati itu biasalah.
"Dalam mesyuarat Cabang semua hadir, cuma ada satu yang tak hadir. Tapi tak bolehlah nak jadikan satu tak hadir itu sebagai penolakan kepada saya," katanya kepada pemberita sebaik selesai Mesyuarat Exco dekat sini pada Rabu.
Menerusi video bergambar tular itu, ia memaparkan gambar Aminuddin dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mendakwa terdapat khabar angin wujudnya ketidakpuasan hati dalam kalangan ahli terhadap kepimpinan negeri.
Dalam video sama turut mendakwa pertelagahan dalaman ini dikatakan berpunca daripada keputusan-keputusan yang dianggap tidak mencerminkan semangat perjuangan PKR yang sebenar, ada juga yang mendakwa bahawa pemimpin tertentu lebih mementingkan agenda peribadi berbanding kepentingan rakyat.
Sementara itu, Aminuddin yang juga Menteri Besar Negeri Sembilan percaya dakwaan itu adalah isu lama yang di ulang siar.
"Tidak mengapalah, saya pun manusia biasa, ada silap saya, tak semua saya betul. Jadi itulah... nak jawab apa lagi.
"Tiba masa saya kena keluar (berundur dalam dunia politik) saya akan keluar, daripada dahulu lagi saya cakap begitu. Kita sebagai ahli politik kita kena akur suasana dan keadaannya," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!