[VIDEO] Pengusaha kebun durian lega gajah liar dipindahkan

A
A
A

SUNGAI SIPUT - Seorang pengusaha kebun durian di Kampung Lasah dekat sini yang mengalami kerugian sehingga RM30,000 selepas hasil tanamannya dimakan kumpulan gajah sejak sebulan lalu.

Kamarudin Ishak, 63, yang mengusahakan dusun durian jenis kampung dan D24 di kawasan seluas 1.2 hektar mula menyedari kehadiran haiwan itu sebaik terlihat najis gajah di dusunnya.

Perhilitan menjalankan operasi memindahkan seekor gajah betina liar yang berjaya ditangkap di Kampung Lasah, Sungai Siput. Gambar kecil: Kamarudin
Perhilitan menjalankan operasi memindahkan seekor gajah betina liar yang berjaya ditangkap di Kampung Lasah, Sungai Siput. Gambar kecil: Kamarudin

"Apabila musim durian, setiap pagi saya memperoleh antara RM200 hingga RM300 setelah dijual kepada peraih tetapi sejak kehadiran gajah ini, hanya dapat sekitar RM30.

"Saya tidak berjaga pada waktu malam cuma apabila sampai waktu pagi hanya dapat kutip beberapa biji sahaja yang telah luruh selepas gajah kembali masuk ke hutan," katanya ketika ditemui pada Rabu.

Yong Manis yang berjaya ditangkap Perhilitan Perak akan dipindahkan ke habitat asal di Gerik.
Yong Manis yang berjaya ditangkap Perhilitan Perak akan dipindahkan ke habitat asal di Gerik.

Menurut Kamarudin, tindakan kawalan yang diambil Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Daerah Sungai Siput membolehkan penduduk memperoleh lebih banyak hasil.

"Sejak Perhilitan berjaya tangkap seekor gajah, barulah kami dapat lebih sikit durian. Perasaan takut itu ada lagi kerana haiwan ini datang berkumpulan tetapi terpaksa memberanikan diri demi duit poket.

Artikel Berkaitan:

"Gajah ceroboh kebun ini sudah biasa dalam kalangan penduduk cuma musim durian kali ini paling teruk dialami apabila haiwan liar ini sering datang," katanya.

Perhilitan Perak dan PKGK Pahang menjayakan operasi memindahkan gajah betina liar di Kampung Lasah, Sungai Siput.
Perhilitan Perak dan PKGK Pahang menjayakan operasi memindahkan gajah betina liar di Kampung Lasah, Sungai Siput.

Dalam operasi itu, seekor gajah betina liar dianggarkan berusia lima tahun dengan berat hampir 1.1 tan dipercayai dari Hutan Simpan Piah berhampiran berjaya dipindahkan.

Pengarah Perhilitan Perak, Yusoff Shariff berkata, gajah itu dikatakan masuk ke kawasan kampung sejak awal Mei lalu dan turut mengganggu tanaman lain seperti kelapa sawit dan pokok getah.

"Melalui Unit Tangkapan Gajah (UTG) Perak, kita telah jalankan operasi tangkapan bermula Sabtu lalu.

"Operasi memindahkan haiwan terbabit mengambil masa kira-kira tiga jam, seramai 26 anggota Perhilitan Perak dan Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) Kuala Gandah terbabit dalam operasi berkenaan," katanya.

Gajah liar yang digelar Yong Manis itu akan dipindahkan ke habitat asalnya di Hutan Simpan Royal Belum, Gerik.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!