Wanita tak tutup aurat promosi program jejas imej Kelantan
KOTA BHARU - Penggunaan logo kerajaan Kelantan dan Tahun Melawat Kelantan (TMK) tanpa kebenaran dengan promosi iklan menggunakan wanita tidak menutup aurat di media sosial dikesan merosakkan imej kerajaan negeri ini.
Exco Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Kelantan, Hilmi Abdullah berkata, setakat ini, pihaknya mendapati empat kes membabitkan penganjur program persendirian melakukan kesalahan antaranya terbaharu menerusi pengiklanan di satu lokasi di bandar di sini yang dimuat naik sekitar lima hari lalu.
Menurut beliau, di Kelantan wanita bukan sahaja tidak dibenarkan membuat persembahan hiburan di khalayak umum, bahkan tidak boleh mempamerkan diri pada poster jika tidak menutup aurat.
“Ada beberapa penganjur swasta menggunakan logo kerajaan negeri dan TMK di luar pengetahuan kami serta belum memohon permit hiburan.
“Pada masa sama, ada poster atau video mempromosikan program yang akan diadakan di Kelantan, Jumaat ini dibuat oleh wanita tidak menutup aurat dengan gaya seksi dan mencolok mata sekali gus memberi pandangan seolah-olah kerajaan Kelantan bersama-sama dalam program tersebut,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Exco di Kompleks Kota Darulnaim di sini pada Rabu.
Menurut beliau, pihaknya memandang serius perkara itu dan akan mengambil tindakan wajar kerana mencalarkan nama baik pelancongan serta kerajaan Kelantan.
Tambah beliau, di Kelantan juga tidak boleh diadakan sebarang program berbentuk hiburan bermula selepas waktu Asar pada setiap Khamis sehingga Asar, Jumaat.
“Perkara tersebut turut dibangkitkan dalam mesyuarat pada hari ini (Rabu) dan memohon mana-mana penganjur swasta yang menganjurkan sendiri program tanpa kerjasama kerajaan negeri supaya tidak menggunakan logo kerajaan negeri atau pun logo TMK.
“Kami juga sedang meneliti kes-kes bagi tujuan tindakan lanjut termasuk memberi amaran,” katanya.
Dalam pada itu, Hilmi menyeru penganjur program hiburan terutama melibatkan konsert sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-67 pada 31 Ogos ini untuk membuat permohonan permit hiburan sebulan lebih awal.
“Pastikan program mendapat permit daripada ketua-ketua jajahan dan pihak berkuasa tempatan lebih awal supaya perbincangan syarat-syarat penganjuran dapat dilakukan seterusnya memastikan hiburan dianjurkan berlandaskan peraturan serta garis panduan.
“Kegagalan berbuat demikian adalah satu kesalahan di bawah Enakmen Hiburan dan Kawalan Tempat Hiburan 1998 serta Garis Panduan Kawalan Hiburan 2003 bagi Seksyen 6 yang memperuntukkan denda sehingga RM20,000, penjara lima tahun atau kedua-duanya,” katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!