Kedah failkan rayuan, pertahan keputusan tutup premis judi
ALOR SETAR - Kerajaan Kedah akan menggunakan saluran perundangan dalam mempertahankan keputusan menutup premis judi di negeri ini.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, setakat ini notis rayuan telah difailkan ke Mahkamah Rayuan oleh Pejabat Penasihat Undang-Undang Negeri Kedah pada 24 Jun lalu.
Menurutnya, sementara itu notis permohonan penangguhan pelaksanaan keputusan Mahkamah Tinggi juga telah difailkan pada 4 Julai.
“Semakan kehakiman telah dibuat oleh operator-operator syarikat perjudian dan telah diterima oleh mahkamah. Ini bermakna keputusan Kedah dianggap terbatal dengan keputusan tersebut.
“Berikutan keputusan kes larangan pembaharuan lesen judi itu, kita kemuka dua notis tersebut untuk mohon tangguh sehingga rayuan didengar di Mahkamah Rayuan,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman pada Rabu.
Mahkamah Tinggi Alor Setar pada 20 Jun lalu membenarkan permohonan semakan kehakiman dibuat bagi menghalang tindakan kerajaan negeri mengharamkan aktiviti perjudian berlesen.
Pada 14 November 2022, Sanusi mengumumkan kerajaan negeri tidak lagi meluluskan lesen judi, selain mengehadkan penjualan arak di semua premis terutama di kawasan luar bandar di negeri ini.
Pada 1 Januari tahun lepas, keputusan itu dikuatkuasakan menyebabkan semua premis perjudian dan loteri tidak lagi dibenarkan beroperasi di Kedah.
Sanusi berkata, setakat ini dasar berkenaan masih berkuat kuasa di negeri ini sehingga keputusan baharu diputuskan.
“Syarikat perjudian tersebut mohon ganti rugi. Perkara itu akan diputuskan oleh mahkamah berdasarkan tuntutan mereka termasuk jumlah kerugian yang ditafsirkan oleh mahkamah,” jelasnya.
Pada masa sama, Sanusi melahirkan rasa kecewa dan sedih berhubung keputusan tersebut kerana beliau hanya melaksanakan tuntutan agama di negeri ini.
“Kita berusaha pertahan pendirian kita, selepas Mahkamah Rayuan, ada lagi Mahkamah Persekutuan untuk mentafsirkan adakah negeri berhak membuat dasar-dasar berkaitan setelah Mahkamah Tinggi mentafsirkan negeri tidak ada hak,” ujarnya.
Menurutnya, kerajaan negeri berpegang pada pendirian amar makruf nahi mungkar selain melaksanakan perintah agama yang selari dengan tuntutan ALLAH SWT.
“Saya sudah laksanakan peranan saya dan tetapkan pendirian selari dengan perintah tuhan. Sesiapa yang terbabit itu, jawab dengan tuhan dulu. Dia ingat lepas di dunia, akhirat pun tak lepas.
“Saya telah buat dalam bidang kuasa saya, saya telah laksanakan perintah tuhan ke atas saya. Setiap manusia dihantar ke dunia ada tanggungjawab sebagai khalifah.
“Saya amat sedih. Ada lagi ruang dalam negara yang meletakkan Islam sebagai agama rasmi, bila dilaksanakan satu tuntutan besar dalam Islam, boleh dicaras macam itu saja,” katanya.
Biarpun kecewa, Sanusi berharap masih ada ruang dalam perundangan untuk memastikan dasar tersebut dapat dikekalkan.
“Nak lawan pasai apa? Kita buat elok dah. Semua itu bawa kebaikan. Ada pahala masing-masing. Yang melawan pun ada dosa masing-masing. Saya hanya laksanakan tanggungjawab saya,” katanya.
Sebelum itu, pada sidang akhbar berasingan, Pengurus besar STM Lottery, Yip Kok Chyuan mendakwa keputusan dilaksanakan kerajaan negeri itu menyebabkan tekanan kewangan dan emosi kepada ejen, pekerja dan ahli keluarga masing-masing.
"Kami mengalu-alukan keputusan Mahkamah Tinggi yang memutuskan pelaksanaan kuasa oleh kerajaan negeri harus konsisten dengan kuasa kerajaan Persekutuan seperti diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.
"Kami terpaksa tutup perniagaan, pekerja kebanyakannya golongan berpendapatan rendah, terpaksa tinggalkan kampung halaman untuk dipindahkan ke cawangan lain di negeri lain. Ada yang berdepan kesukaran dan enggan tinggalkan kampung dan menjadi penganggur,” katanya.
Menurutnya lagi, mereka berharap kerajaan negeri mempermudahkan urusan memperbaharui lesen premis perniagaan judi dan membenarkan ejen memulakan semula perniagaan.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!