Mohd Amar nafi dakwaan Ahmad Maslan

Mohd Amar menghadiri Majlis Penutup Kelantan Internasional Conference 2024 (KelMIC2024) pada Rabu.
Mohd Amar menghadiri Majlis Penutup Kelantan Internasional Conference 2024 (KelMIC2024) pada Rabu.
A
A
A

KOTA BHARU - Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Abdullah menafikan dakwaan bahawa kerjasama kedua-dua parti di bawah piagam Muafakat Nasional (MN) merosot selepas Pas menolak tawaran kerusi UMNO yang memihak kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

"Mengarut," kata Mohd Amar ringkas ketika ditanya mengenai dakwaan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan bahawa ketegangan antara parti itu dan Pas memuncak ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 2021.

Mohd Amar mendakwa, masalah bermula apabila Pas mencadangkan perkongsian kerusi antara Pas, Bersatu dan Barisan Nasional (BN).

"BN pada waktu itu berkeras, tidak mahu memberi kerusi pada Bersatu dan dia hanya menawarkan beberapa kerusi kepada Pas.

"Jadi atas semangat MN pada waktu itu dan Perikatan Nasional (PN), kita tidak boleh terima... itu puncanya, kerana ketamakan UMNO yang mahu menguasai dan sampai hari ini isu itu tidak boleh selesai dan sukar untuk berbincang," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Penutup Kelantan Internasional Conference 2024 (KelMIC2024) di sini pada Rabu.

Media sebelum ini melaporkan, Ahmad mendakwa ketika itu beliau sebagai Setiausaha Agung UMNO dan parti itu mengeluarkan kenyataan rasmi mengajak Pas bekerjasama untuk PRN Melaka.

Katanya, UMNO bersetuju menawarkan Pas beberapa kerusi, tetapi parti itu menolak dan hubungan antara dua parti itu terputus dengan penolakan berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Jelas Ahmad, Pas kemudian tidak memenangi walau satu kerusi pun dalam pilihan raya negeri Melaka manakala BN memenangi 21 daripada 28 kerusi.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!