Perdana Menteri Slovakia kembali bertugas selepas cubaan bunuh

Fico (kanan) ketika menghadiri mesyuarat Kabinet di Bratislava pada Selasa. Foto EPA
Fico (kanan) ketika menghadiri mesyuarat Kabinet di Bratislava pada Selasa. Foto EPA
A
A
A

BRATISLAVA - Perdana Menteri Slovakia, Robert Fico kembali bertugas hampir dua bulan selepas terselamat daripada cubaan bunuh, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Fico dilaporkan menghadiri mesyuarat Kabinet di Bratislava pada Selasa.

Dalam satu kenyataan, Fico, 59, berkata, beliau sedang menyesuaikan diri dengan tugasnya dan berharap dapat segera menjalankan tanggungjawab sepenuhnya.

Pada Isnin, Fico melawat sebuah ladang bagi memeriksa hasil tuaian sambil menggunakan tongkat untuk menyokong dirinya.

Menurut Agensi Berita TASR, Fico juga menghubungi Perdana Menteri Ukraine, Denys Shmyhal bagi menawarkan untuk menerima dan merawat pesakit kanser pediatrik dari Ukraine di Slovakia, susulan serangan Rusia baru-baru ini ke atas hospital pediatrik di Kyiv.

Topik lain yang dibincangkan adalah penganjuran mesyuarat antara dua negara jiran, yang dijadual berlangsung pada awal musim luruh.

Pada 15 Mei lalu, Fico cedera parah apabila ditembak beberapa kali ketika menyapa penyokong selepas mesyuarat Kabinet di bandar kecil Handlova.

Penyerang lelaki berusia 71 tahun ditahan selepas serangan itu. - Bernama-dpa

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!