Perasmian Ibu Kota Nusantara ditangguh lagi?

Cuaca buruk menjadi cabaran utama kepada projek ibu kota baharu yang akan menggantikan Jakarta. - Foto Agensi
Cuaca buruk menjadi cabaran utama kepada projek ibu kota baharu yang akan menggantikan Jakarta. - Foto Agensi
A
A
A

JAKARTA - Projek Ibu Kota Nusantara (IKN) yang menelan kos AS$32 bilion (RM150.6 bilion) sekali lagi terpaksa ditangguhkan berikutan infrastruktur utama masih belum lengkap, beberapa minggu sebelum rancangan perasmian yang dijadualkan pada bulan depan.

Presiden Indonesia, Joko Widodo atau Jokowi pada Isnin berkata, pengeluaran dekri untuk merasmikan status bandar itu sebagai ibu kota baharu menggantikan Jakarta adalah bergantung kepada perkembangan projek berkenaan.

“Saya tidak mahu terlalu memberi tekanan. Apa-apa keputusan akan dibuat selepas menilai kemajuan di lokasi tersebut,” lapor agensi berita Antara memetik kenyataan Jokowi.

Menurutnya, dekri Presiden bakal dikeluarkan oleh pentadbirannya atau penggantinya iaitu Prabowo Subianto pada Oktober depan.

“Masa perasmian bergantung kepada situasi di lapangan,” katanya lagi.

Di bawah pelan asal, Jokowi bakal membuka secara rasmi IKN pada 17 Ogos depan sempena sambutan ulang tahun ke-79 Hari Kemerdekaan Indonesia.

Beliau juga merancang untuk mula bertugas di pejabat baharu pada bulan ini apabila projek pembinaan fasa pertama bangunan kerajaan selesai.

Pada Jumaat lalu, Ketua Pasukan Petugas Pembangunan Infrastruktur Nusantara, Danis Sumadilaga memberitahu pembangunan pejabat Presiden telah mencapai tahap 92 peratus.

Artikel Berkaitan:

Mereka menyasarkan untuk menyelesaikan projek itu pada minggu kedua Julai manakala mercu tanda lain termasuk taman peringatan dan lokasi untuk sambutan hari kebangsaan dijangka siap pada akhir bulan ini.

“Cabaran sekarang ialah cuaca buruk,” ujarnya ketika menjelaskan tentang hujan lebat berterusan yang menjejaskan projek tersebut.

Tambahnya, seluruh projek pembangunan di Nusantara akan dihentikan sementara bermula 10 Ogos depan bagi memberi laluan kepada persiapan menyambut Hari Kemerdekaan.

Pada Februari lalu, pemerintah mengurangkan separuh daripada sasaran untuk pemindahan penjawat awam daripada 11,916 kepada 6,000 orang kerana kemudahan yang masih tidak lengkap. - Agensi

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!