Gadis tempuh detik hitam dicabul warga asing
KLANG - Seorang gadis menempuh detik hitam apabila dicabul dua hari berturut-turut oleh lelaki warga asing dalam kejadian di sebuah pusat beli belah dekat Bandar Bestari di sini baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, laporan sebelum itu dibuat mangsa di Balai Polis Klang kira-kira jam 6.06 petang pada 7 Julai lalu berkaitan kejadian.
"Mangsa yang berumur 19 tahun itu melaporkan bahawa dia dicabul seorang lelaki pada 6 Julai dan 7 Julai sewaktu sedang bekerja di sebuah gerai dekat pusat beli belah berkenaan.
"Mangsa bagaimanapun tidak mengenali suspek dan laporan polis dibuat mangsa untuk tindakan selanjutnya," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Menurutnya, siasatan dijalankan mendapati dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang pada 6 Julai, mangsa didatangi suspek dipercayai lelaki warga asing yang bertindak menghampirinya.
"Suspek kemudiannya bertindak menyentuh serta meraba paha mangsa dan suspek turut menyatakan bahawa dia ingin mengoyak seluar jeans yang dipakai mangsa," katanya.
"Pada keesokan harinya 7 Julai kira-kira jam 11 pagi, mangsa sekali lagi didatangi suspek dan bertindak menyentuh bahunya. Bagaimanapun mangsa menepis tangan dan memarahi perbuatan suspek yang bertindak mencabul kehormatannya itu," katanya.
Hoong Fong berkata, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan menjalankan siasatan lanjut bagi kes berkenaan dan kes disiasat di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan.
"Polis kini dalam usaha mengesan dan menangkap suspek yang terlibat dalam kejadian ini," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!