Buaya baham kanak-kanak perempuan ditembak mati
CANBERRA - Reptilia berukuran 4.2 meter yang membaham seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun pada awal Julai lalu ditembak mati pihak berkuasa Australia.
Polis Wilayah Utara (NT) Australia pada Rabu mengesahkan bahawa buaya itu telah dimusnahkan, lapor Xinhua.
Pada 2 Julai lalu, seorang kanak-kanak perempuan sedang berenang bersama keluarganya di sungai berhampiran bandar kecil Palumpa, lebih 200 kilometer barat daya Darwin sebelum dia dilaporkan hilang.
Mayatnya ditemukan pada 4 Julai selepas pencarian selama dua hari dan kecederaan yang dialami adalah konsisten dengan serangan buaya.
Ini merupakan serangan buaya pertama di NT sejak 2018.
Dalam satu kenyataan pada Rabu, Polis NT menjelaskan buaya itu telah ditembak oleh renjer pada Ahad dengan kebenaran pemilik Orang Asli tempatan di kawasan itu.
Menurut kerajaan tempatan, dianggarkan lebih 100,000 buaya air masin hidup di habitat liar di NT - lebih banyak berbanding negeri atau wilayah lain di Australia. - Bernama
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!