Ucapan ‘Innalilahi wa inna Ilaihi Raji’un’ bukan hanya khusus untuk kematian
LAFAZ Innalillahi wa inna Ilaihi Raji’un sering diucapkan oleh kebanyakan masyarakat kita tatkala mendengar berita kematian.
Meskipun demikian, penggunaan kalimah tersebut sebenarnya lebih meluas dan ia tidak terhad digunakan semata-mata sebagai ucapan takziah kepada keluarga atas kehilangan orang tersayang.
Memperbetulkan tanggapan tergelincir masyarakat tentang perkara itu, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menjelaskan, lafaz Innalillah ataupun dikenali sebagai lafaz istirja’ sebenarnya diucapkan apabila seseorang ditimpa musibah.
“Tidak kiralah sama ada musibah tersebut kecil ataupun besar,” katanya sebagaimana dipetik menerusi artikel Al-Kafi #1988: Adakah Disahkan Meninggal Dunia dengan Ucapan Innalillah yang disiarkan di laman web rasmi pejabat mufti berkenaan pada Rabu.
Ia sepertimana disebutkan menerusi firman ALLAH SWT: “Demi sesungguhnya! KAMI akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar. (Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: “Sesungguhnya kami adalah kepunyaan ALLAH dan kepada ALLAH jualah kami kembali.” (Surah al-Baqarah: 155-156)
Dalam satu riwayat, Ummu Salamah RA berkata bahawa dia mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Tidaklah seorang Mukmin itu ditimpa musibah lalu ia mengucapkan apa yang diperintahkan oleh ALLAH SWT, Seungguhnya kami adalah milik ALLAH SWT dan akan kembali kepada-NYA jua. Ya ALLAH, ganjarilah kami pahala kerana musibah ini dan tukarlah bagiku dengan yang lebih baik daripadanya melainkan ALLAH SWT menukarkan baginya dengan yang lebih baik (Innalillahi wa inna Ilaihi Raji’un allahumma ajurni fi mushibati wa akhlif li khairan minha).” (Hadis Riwayat Muslim)
Berdasarkan kepada dalil itu, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan berkata, jelaslah bahawa setiap orang Mukmin digalakkan untuk menyebut lafaz istirja’ ketika dirinya ditimpa musibah sama ada kecil atau besar seperti kematian.
Tambah pejabat mufti itu, hukumnya adalah sunat untuk kita melafazkannya kerana Rasulullah SAW diperintahkan untuk berbuat demikian.
“Dapat difahami bahawa lafaz istirja’ atau Innalillah ini bukan sahaja diucapkan ketika berlakunya kematian, tetapi juga ia merangkumi apa sahaja musibah yang melanda kepada seseorang individu Muslim mahupun sesebuah masyarakat,” katanya.
Bagaimanapun, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menegaskan, seseorang tidak boleh sama sekali menyebarkan berita palsu tentang kematian seseorang kerana perkara itu ditegah dalam agama dan berdosa hukumnya.
Apatah lagi jika ia membabitkan perkhabaran ‘kehilangan’ tokoh penting dalam negara.
“Ini kerana Islam begitu mementingkan keabsahan sumber sesuatu berita yang disebarkan. Lebih-lebih lagi apabila kewujudan berita berkenaan boleh menimbulkan kekeliruan kepada masyarakat kerana melibatkan orang penting dalam negara seperti Perdana Menteri dan ulama.
“Ingatlah, perbuatan menyebarkan berita palsu adalah perilaku tidak bermoral dan jauh daripada akhlak Islam. Ia hendaklah dijauhi dan dihindari demi menjamin kesejahteraan masyarakat sejagat.
“Tindakan itu seolah-olah merupakan suatu bentuk sindiran dan mendoakan kematian kepada Perdana Menteri. Jelas ia suatu akhlak yang buruk kerana seseorang Muslim tidak boleh mendoakan keburukan ke atas orang lain dan tidak boleh menjadikan kematian sebagai bahan gurauan,” titipnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!