Penduduk bantah projek RKK Pulau Pangkor

Hong Gi (tengah) bersama ahli Jawatankuasa Kemajuan Pembangunan Pulau Pangkor membantah RKK yang akan memberi kesan kepada penduduk. Foto ihsan pembaca
Hong Gi (tengah) bersama ahli Jawatankuasa Kemajuan Pembangunan Pulau Pangkor membantah RKK yang akan memberi kesan kepada penduduk. Foto ihsan pembaca
A
A
A

LUMUT - Lebih 2,000 penduduk dan komuniti nelayan Pulau Pangkor membantah Rancangan Kawasan Khas (RKK) yang dilaksanakan kerajaan untuk pembangunan pulau bebas cukai itu.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Pembangunan Pulau Pangkor, Beh Hong Gi berkata, cadangan dalam dokumen RKK itu dilihat akan menjejaskan masa depan penduduk.

Menurutnya, pelan tambak tanah seluas 7.75 hektar itu boleh menyebabkan berlakunya pengusiran besar-besaran penduduk yang tinggal lebih empat generasi di pesisir timur Pulau Pangkor.

"Tujuan pengusiran dan tambak pulau ini adalah untuk mewujudkan tanah lapang baru bagi pembangunan pusat membeli-belah, pusat bebas cukai dan tarikan pelancongan lain yang tidak mampan dan berisiko menjadi projek gajah putih.

"Kawasan-kawasan tersebut yang sekian lama menjadi tempat tinggal untuk anak jati pulau itu merupakan pusat aktiviti nelayan dan pemprosesan hasil laut sekali gus menjadi ikon unik Pulau Pangkor. Pembangunan demikian tidak akan memberikan apa-apa faedah yang mampan kepada penduduk," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Rabu.

Jawatankuasa Kemajuan Pembangunan Pulau Pangkor yang mewakili penduduk dan komuniti nelayan membantah pelan di bawah RKK pulau bebas cukai itu. Foto ihsan pembaca
Jawatankuasa Kemajuan Pembangunan Pulau Pangkor yang mewakili penduduk dan komuniti nelayan membantah pelan di bawah RKK pulau bebas cukai itu. Foto ihsan pembaca

Bagi Mohamad Shamsul Izwan Sulaiman, RKK itu juga akan menyebabkan kemusnahan alam sekitar berikutan pengklasifikasikan semula Hutan Simpan Kekal (HSK) seluas 644.6 untuk tujuan pembangunan.

"Pulau Pangkor adalah salah satu zon biodiversiti yang paling padat di Malaysia yang menjadi habitat untuk pelbagai spesis flora dan fauna endemik, termasuk burung enggang liar Pangkor dan penyu Agar.

Artikel Berkaitan:

"Pelan pembangunan yang terkandung dalam RKK itu menyebabkan HSK Pangkor Utara, HS Sungai Pinang, dan HS Pangkor Selatan berkurangan sebanyak 24.3 peratus.

"Kerajaan Persekutuan dan negeri yang ingin menambah potensi Pulau Pangkor sebagai pusat pelancongan tidak patut memusnahkan keindahan semula jadi sebaliknya patut menambah baik usaha konservasi flora dan fauna supaya Pulau Pangkor dapat dibangun secara mampan," katanya.

Timbalan Pengerusinya, Yvonne Beh Qiu Luan berkata, pelan RKK Pulau Pangkor itu disifatkan sebagai pelan yang digubal tanpa pertimbangan tentang pelbagai isu ekonomi dan alam sekitar.

"Kami meminta kerajaan Persekutuan dan negeri untuk mempertimbangkan semula pelan pembangunan Pulau Pangkor ini yang bakal menjejaskan penduduk setempat.

"Kerajaan wajar melibatkan warga Pulau Pangkor dalam segala pelan pembangunan di setiap peringkat penggubalan pelan pembangunan supaya kepentingan penduduk dapat dikongsi bersama," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!