Usul persidangan khas mengarut, membazir - Ketua Pembangkang Perak
IPOH - Usul mengadakan persidangan khas menangani isu fenomena cuaca ekstrem, perubahan iklim dan banjir kilat yang dibawa dalam Persidangan Dewan Negeri Perak pada Rabu disifatkan tidak relevan.
Ketua Pembangkang, Razman Zakaria berkata, cadangan itu sekiranya diluluskan juga menjurus kepada pembaziran masa dan tenaga anggota kerajaan memandangkan isu sama telah beberapa kali dibincangkan secara kolektif.
"Sepatutnya kerajaan yang cekap di bawah Kerajaan Perpaduan ini mengumpulkan pelan tindakan dan rang undang-undang yang boleh digunakan akibat daripada fenomena itu.
"Barulah menjadikan Dewan ini berfungsi sebagai pembuat dasar, pembuat enakmen bukannya membincangkan usul untuk membuat persidangan," katanya ketika mengambil bahagian dalam perbahasan tersebut pada Rabu.
Usul mengenai cadangan mengadakan persidangan khas bagi menangani isu fenomena cuaca ekstrem dan perubahan iklim serta banjir kilat yang akan memberi kesan kepada kehidupan rakyat Perak itu dibawa wakil rakyat kerajaan, Wong Chai Yi (PH-Simpang Pulai).
Usul itu antara lain membawa semua pihak duduk berbincang dalam platform yang sama sebagai sebuah jawatankuasa bersepadu supaya faktor, idea dan pandangan dapat diselaraskan untuk tindakan bersama.
Pandangan disuarakan Razman turut disokong Mohd Fakhrudin Abd Aziz (PN-Kamunting) yang mempersoalkan keberkesanan kajian melalui Perak Sustainable Greenprint 2030.
Beliau berkata, kajian selama enam bulan yang dilakukan secara bersama antara Kumpulan Industri-Kerajaan bagi Teknologi Tinggi Malaysia (MIGHT) dan Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) pada 2021 itu telah menggariskan strategi, inisiatif dan pelan tindakan bagi 12 sektor utama di Perak ke arah lebih mampan dan hijau merangkumi aspek ekonomi, persekitaran dan sosial.
"Sekarang mana pelan strategik ini, sepatutnya ikut sahaja dasar berkenaan, laksanakan program yang sewajarnya sepertimana dalam kajian.
"Kenapa perlukan satu keputusan Sidang DUN (Dewan Undangan Negeri) untuk adakan persidangan khas sedangkan masalah telahpun kita fahami, ini sama sekali tidak perlu," katanya.
Chai Yi ketika membentangkan usul berkenaan menekankan empat isi penting iaitu perbincangan perubahan iklim harus dirangkumi dalam perancangan bandar; data tepat diperlukan dalam perancangan menyeluruh; pelaksanaan dan pemantauan yang berkesan serta penyelesaian masalah kreatif dengan teknologi baru.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!