Parlimen: Projek PoP Fasa 1 siap 99.11 peratus, baki enam di Zon Selatan

Nie Ching pada Persidangan Dewan Rakyat sempena Mesyuarat Kedua, Penggal Ketiga Parlimen Ke-15 di Bangunan Parlimen, pada Rabu. Foto Bernama
Nie Ching pada Persidangan Dewan Rakyat sempena Mesyuarat Kedua, Penggal Ketiga Parlimen Ke-15 di Bangunan Parlimen, pada Rabu. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pelaksanaan Projek Point of Presence (PoP) Fasa 1 yang melibatkan penyediaan dan pemasangan 677 PoP di sekolah termasuk kawasan perindustrian dengan nilai RM673.2 juta, siap 99.11 peratus setakat ini.

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, sehingga hari ini 671 daripada 677 PoP telah siap dilaksanakan, dan hanya berbaki enam di Zon Selatan.

"Syarikat pelaksana Projek PoP di Zon Selatan telah diberikan lanjutan tempoh pelaksanaan (EOT) kali pertama pada Disember 2022 sehingga Oktober 2023.

"Pihak syarikat telah memohon EOT kali kedua sehingga akhir Februari 2024, bagaimanapun sehingga kini syarikat itu masih gagal menyiapkan baki PoP terlibat,” katanya ketika menggulung perbahasan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Siri 2 2024 bagi kementerian itu di Dewan Rakyat pada Rabu.

Beliau berkata, kementerian telah mengemukakan dua kali Notis Peringatan kepada syarikat tersebut berhubung kelewatan melaksanakan projek PoP, dan mempertimbangkan pengenaan LAD (Liquidated Ascertained Damages) bagi baki PoP yang belum siap.

Bagi PoP Fasa 2 Teo berkata RM3.9 bilion diperuntukkan dengan Surat Setuju Terima bagi projek itu telah ditandatangani dan diserah kepada kontraktor terpilih pada 6 Oktober 2022, lima hari sebelum Parlimen Ke-14 dibubarkan.

"Kementerian Komunikasi sedia bekerjasama dengan pihak SPRM untuk melaksanakan siasatan yang ingin dijalankan oleh pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia,” katanya.

Mengenai ketersediaan perkhidmatan internet melalui PoP tetapi tidak dimanfaatkan atau dilanggan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Nie Ching berkata, KPM dimaklumkan penyiapan projek secara berperingkat dan kementerian itu juga perlu mengambil kira kontrak internet sedia ada yang masih berkuat kuasa sebelum melanggan pakej yang baharu.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, sejak Januari lepas beberapa sesi libat urus mengenai pakej langganan jalur lebar telah diadakan bersama KPM dan persetujuan mengenai harga pakej telah dimuktamadkan semasa mesyuarat pada 8 hingga 10 Mei lepas dengan pengurangan harga 10 peratus berbanding harga pakej sedia ada dilanggan KPM.

"Surat penawaran cadangan pakej perkhidmatan jalur lebar Projek PoP beserta senarai sekolah terlibat telah dikemukakan kepada KPM pada 17 Mei lepas untuk tindakan penyelarasan perolehan pakej internet ke sekolah-sekolah selanjutnya oleh KPM,” katanya.

Sementara itu, mengenai langkah yang akan diambil untuk merealisasikan syor audit dari segi perolehan hasil daripada projek dilaksanakan dan perancangan kementerian dalam memanfaat pulangan daripada projek JENDELA, Nie Ching berkata, pengiraan pembayaran perkongsian hasil sedang diselaraskan dengan pihak syarikat.

Beliau berkata, perkara itu akan dimuktamadkan pada penghujung tempoh kontrak setelah mengambil kira kos dan jumlah keseluruhan port yang telah dipasang, termasuk kemungkinan lebihan pulangan kepada kerajaan.

"Kementerian Komunikasi akan memantau kadar langganan ini sehingga penghujung kontrak iaitu pada Disember 2024 dan sekiranya mencapai nilai ambang 80 peratus, pembayaran perkongsian hasil akan dilaksanakan sewajarnya.

"Bagi memanfaat pulangan daripada pelaksanaan projek JENDELA dalam aspek pembangunan prasarana dan infrastruktur, Kementerian Komunikasi akan memastikan persefahaman dan penyelarasan dasar dengan kementerian dan agensi yang terlibat,” katanya.

Beliau berkata, langkah itu diambil bagi memanfaatkan pulangan secara holistik dan best-value daripada pelaksanaan projek-projek di bawah JENDELA. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!