Jangan tolak atau pertikai RUU Mufti Wilayah Persekutuan
JOHOR BAHRU - Jabatan Mufti Johor menegaskan tidak wajar mana-mana pihak untuk mempertikai atau menolak cadangan Rang Undang-Undang (RUU) Mufti (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 2024.
Mufti Johor, Datuk Yahya Ahmad berkata, pembentangan RUU itu terutama pada Perkara 4 bertujuan untuk memperkukuh lagi kedudukan Ahli Sunnah Wal Jamaah berteraskan akidah al-Asyairah dan Al-Maturidiyah di Malaysia umumnya dan Wilayah Persekutuan khususnya.
Katanya, Johor menyokong penuh pembentangan rang undang-undang berkenaan kerana negeri ini sejak 2015 telah melaksanakan pindahan Seksyen 2, Enakmen Pentadiran Agama Islam (Negeri Johor) 2003 berhubung takrifan hukum syarak.
"Ertinya dari segi pegangan akidah hendaklah berdasarkan pegangan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah yang bersumberkan aliran al-Asyairah dan al-Maturidiyah.
"Dari segi syariah mengikut Mazhab Shafie atau dalam keadaan tertentu mengikut mana-mana satu Mazhab Hanafi, Maliki atau Hambali atau melalui Ijtihad hukum yang diputuskan oleh Jawatankuasa Fatwa, atas syor Majlis, diperkenan oleh Raja-Raja dan diwartakan," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Menurut beliau, penekanan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah aliran al-Asyairah dan al-Maturidiyah di Johor sentiasa disebut dalam khutbah Jumaat setiap minggu.
"Pada masa sama, syarat utama kelulusan dan pemberian tauliah memberi syarahan agama di negeri ini hendaklah berpegang kepada Akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah aliran al-Asyairah dan al-Maturidiyah," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Natijahnya, Alhamdulillah dengan izin ALLAH fahaman ekstrem dapat dibendung dan ajaran yang bertentangan dengan syariat Islam dapat dibanteras," ujarnya.
Media sebelum ini melaporkan Ahli Majlis Syura Persatuan Guru-Guru Pondok Kelantan, Dr Muna Hamzan berkata, semua ahli Parlimen beragama Islam wajib menyokong RUU Mufti (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 2024 apabila usul itu dibawa ke Dewan Rakyat.
Beliau dipetik berkata, sokongan itu bagi memastikan RUU berkenaan diluluskan Parlimen, seterusnya dikuatkuasakan bagi memelihara institusi raja-raja dan mengekang elemen radikalisme dalam negara.
Muna berkata, RUU Mufti itu mentakrifkan Ahli Sunnah Wal Jamaah daripada sudut akidah bersumberkan aliran Al-Asyairah, Al-Maturidiah dan fiqh Mazhab Syafie dengan meraikan tiga mazhab lain.
Pada masa sama, katanya, ia dilihat selari dengan enakmen undang-undang pentadbiran Islam di negeri-negeri Malaysia yang berpaksikan kepada Ahli Sunnah Wal Jamaah.
Minggu lalu, Jabatan Mufti Perak (JMNPk) dalam satu kenyataan, turut senada bahawa RUU berkenaan wajib disokong bagi menjamin kesejahteraan umat Islam di negara ini.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!