Pearly-Thinaah congak rentak terbaik

Pearly (kanan) dan Thinaah dalam sidang media di Bukit Kiara pada Rabu. Foto Bernama
Pearly (kanan) dan Thinaah dalam sidang media di Bukit Kiara pada Rabu. Foto Bernama
A
A
A

BEREGU wanita utama negara, Pearly Tan-M Thinaah mencongak semula rentak terbaik ketika diperagakan pada Terbuka Indonesia 2024 untuk diterjemahkan semula pada Sukan Olimpik 2024 di Paris yang berbaki 15 hari untuk disingkap.

Biarpun tersingkir dari saingan suku akhir kepada pasangan nombor satu dunia, Chen Qing Chen-Jia Yi Fan 20-22, 18-21, namun Pearly mengakui aksi di Istora Senayan, Jakarta itu mampu mengembalikan keyakinan mereka selepas berdepan persembahan tidak konsisten sebelum ini.

"Semasa latihan kita cari keyakinan dan cara bermain (seperti di Terbuka Indonesia 2024). Persediaan setakat ini bagus kerana kami beri sepenuhnya semasa latihan dan berjuang untuk Olimpik," katanya pada sidang media di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara pada Rabu.

Pearly juga mengakui mengambil pengajaran daripada kekalahan kepada pasangan China itu termasuk ketika detik genting pasangan lawan mencuri mata dan seterusnya meraih kemenangan.

"Kami berlatih untuk berdepan dengan mata penting ketika penghujung aksi yang menyaksikan peluang untuk menang dinafikan oleh pasangan lawan," katanya yang mengimpikan untuk meraih pingat Sukan Olimpik.

Thinaah (kanan) dan Pearly giat menjalani latihan di Bukit Kiara menjelang 15 hari menuju Sukan Olimpik 2024 di Paris. Foto Bernama
Thinaah (kanan) dan Pearly giat menjalani latihan di Bukit Kiara menjelang 15 hari menuju Sukan Olimpik 2024 di Paris. Foto Bernama

Dalam pada itu, Thinaah berharap pengalaman menentang beberapa rakan sepelatih dari Indonesia dapat membantu mereka untuk mengatasi pasangan utama dunia termasuk Qing Chen-Yi Fan serta gandingan nombor dua dunia dari Korea Selatan, Baek Ha Na-Lee So Hee.

"Kedua-dua pasangan ini mempunyai kelebihan dan kekurangan. Saya fikir cabaran sebenar adalah apabila bertemu mereka di gelanggang. Kami hanya mahu fokus mata demi mata dan pergerakan (semasa di Olimpik)," katanya.

Artikel Berkaitan:

Berdasarkan rekod pertemuan sebelum ini, Pearly-Thinaah hanya menang sekali daripada tujuh pertembungan menentang Qing Chen-Yi Fan dan tumpas dua dari tiga perlawanan menentang Ha Na-So Hee.

Dalam pada itu, jurulatih beregu wanita negara, Hoon Thien How enggan meletakkan sebarang tekanan dan berharap agar Pearly-Thinaah bebas daripada sebarang kecederaan menjelang temasya terbesar dunia tersebut.

"Beraksi seperti dalam latihan dan fokus kepada permainan untuk meraih keputusan positif," katanya.

Rexy optimis beregu wanita mampu menyerlah di Paris

Dalam pada itu Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky percaya beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah mampu memperagakan aksi terbaik pada Sukan Olimpik 2024 di Paris hujung bulan ini.

Malah beliau berkata, jika mereka diletakkan dalam kumpulan bersama pasangan utama atau ranking lebih tinggi dan berupaya mengatasi lawan di peringkat tersebut, situasi itu mampu meningkatkan tahap keyakinan untuk lebih menyerlah dalam saingan kalah mati.

Beliau turut melihat peluang lebih terbuka untuk mana-mana pemain atau pasangan merangkul pingat di Sukan Olimpik kali ini berbanding ketika sukan badminton mula dipertandingkan pada edisi 1992 di Barcelona.

"Sejak London 2012 dan edisi seterusnya, tekanan adalah tidak sama seperti di Olimpik 1992 kerana dahulu sudah tahu siapa calon kuat yang akan menjadi juara.

Rexy. Foto Bernama
Rexy. Foto Bernama

"Namun kali ini semuanya hampir sama bukan sahaja China, Jepun, Korea Selatan atau Malaysia, malah pemain perseorangan lelaki dari Guatemala, Kevin Gordon mampu mara ke separuh akhir di Tokyo 2020.

"Jadi semuanya bergantung kepada bagaimana pemain itu menangani tekanan di gelanggang ketika hari pertandingan," katanya pada sidang media di Bukit Kiara pada Rabu.

Jurulatih dari Indonesia itu juga telah merencana pelbagai situasi, termasuk strategi mencuri mata dan arah pukulan servis dalam sesi latihan bagi membantu Pearly-Thinaah berdepan pasangan handal dunia lain di Paris.

"Latihan seperti ini penting agar mereka tidak berasa gugup dan tahu apa yang perlu dilakukan ketika di gelanggang termasuk detik penting untuk mengutip mata kemenangan," katanya yang memenangi pingat emas beregu lelaki bersama Ricky Subagja pada Sukan Olimpik 1996 di Atlanta.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!