Isu HRD Corp: SPRM panggil 9 saksi untuk rakam keterangan

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah memanggil sembilan individu untuk dirakam keterangan berhubung siasatan ke atas Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRD Corp).

Sumber berkata, proses rakaman keterangan ke atas kesemua sembilan saksi itu akan dijalankan secara berperingkat bermula Khamis.

Bagaimanapun menurut sumber, identiti individu yang dipanggil tidak didedahkan, namun difahamkan sebahagiannya adalah kakitangan HRD Corp.

"Buat masa ini, SPRM sedang mengkaji dokumen-dokumen yang diambil daripada kedua-dua agensi iaitu HRD Corp dan Kementerian Sumber Manusia (Kesuma).

"SPRM akan merakam keterangan sembilan saksi mulai esok (Khamis)," katanya pada Rabu.

Menurut sumber, tiada sebarang tangkapan dibuat setakat ini.

Sementara itu, sepasukan penyiasat SPRM sekali lagi dilihat mengunjungi ibu pejabat HRD Corp di Jalan Beringin di sini pada Rabu.

Kunjungan itu dipercayai berkaitan siasatan lanjut terhadap syarikat kerajaan itu.

Artikel Berkaitan:

Kumpulan penyiasat yang terdiri daripada enam individu dilaporkan tiba di bangunan HRD Corp jam 2.30 petang, sebelum dilihat meninggalkan lokasi jam 4.30 petang.

Sinar Harian dimaklumkan ketibaan kumpulan penyiasat SPRM itu ke pejabat HRD Corp pada Rabu bertujuan bertemu beberapa pegawai di situ untuk mendapatkan penjelasan lanjut tentang beberapa perkara susulan rampasan dokumen daripada pejabat itu pada Selasa.

Seorang pegawai yang ditemui enggan mengulas lanjut, namun memaklumkan tiada sebarang dokumen diambil pada Rabu.

Pada Selasa, pegawai penyiasat SPRM mengambil dokumen daripada pejabat HRD Corp dan Kesuma di Putrajaya.

Mereka membawa keluar tiga kotak dokumen daripada pejabat HRD Corp, manakala di Kesuma, pegawai penyiasat membawa beberapa beg dipercayai berisi dokumen yang diperlukan untuk siasatan.

Pengarah Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim pula dilaporkan berkata, kehadiran penyiasat di dua tempat terbabit bagi mendapatkan dokumen berkaitan untuk tujuan siasatan.

"Fokus siasatan tertumpu kepada isu rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan di bawah Akta SPRM 2009," katanya.

Sabtu lalu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya dilaporkan berkata, pihaknya sudah mengenal pasti beberapa individu untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan berhubung isu HRD Corp seperti yang didedahkan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2024.

Beliau berkata, pasukan siasatan juga akan ke Kesuma dan HRD Corp bagi mendapatkan dokumen berkaitan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!