21 hari hilang ketika cari siput belitung, anak masih harap ayah ditemui
IPOH - Anak kepada Yahya Harun, 56, yang dilaporkan hilang semasa keluar mencari siput belitung di hutan paya bakau Sungai Tuntung dekat Pantai Remis, Perak masih berharap ayahnya itu ditemukan meskipun sudah 21 hari berlalu.
Mohamad Noor Azlan Yahya, 28, berkata, beliau serta ahli keluarga lain mencari Yahya dari hari pertama operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan.
Beliau berkata, keluarganya juga mengharapkan doa rakyat Malaysia supaya ayahnya ditemui semula bersama seorang lagi rakan ayahnya, Azman Mat Jaab, 61, yang turut hilang.
"Kami adik beradik, sukarelawan, nelayan dan orang kampung turut serta dalam operasi mencari di tempat kejadian bersama pasukan penyelamat yang tidak putus asa dalam usaha ini.
"Siapalah yang tidak sedih dan gundah-gulana, namun kami sekeluarga amat berharap ayah dan pak cik Azman dapat ditemukan segera dalam apa jua keadaan," katanya ketika dihubungi Bernama pada Rabu.
Mohamad Noor Azlan menambah, operasi SAR masih diteruskan sehingga hari ini secara berperingkat, namun tiada petunjuk baharu diperolehi setakat ini.
"Beberapa hari lepas, seramai 50 anggota Batalion Kesembilan Rejimen Renjer Diraja, Taiping menyertai pencarian ayah dan pak cik Azman, namun masih belum berjaya menemui mereka.
"Pencarian dilakukan dalam radius 500 meter dari kawasan motosikal ayah ditemukan, tetapi kami masih buntu untuk menjejaki kedua-dua mangsa," katanya.
Beliau berkata, nalurinya masih menyatakan bahawa ayah dan rakannya itu masih hidup dan berada di hutan paya bakau berkenaan, namun mungkin ada sesuatu perkara menyebabkan dia dan kawannya tidak jumpa jalan keluar.
"Sepanjang SAR yang disertai polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) termasuk khidmat Unit Anjing Pengesan (K9) bermula 19 Jun lepas itu, tiada satu pun jejak mereka dapat dikesan.
"Memang tiada cebisan baju, kasut atau apa jua perkakas mereka yang dijumpai sepanjang operasi dilakukan, mula-mula dahulu adalah jejak kasut, namun itu pun kita tak dapat nak pastikan jejak siapa, mungkin bukan jejak mereka," katanya.
Anak ketiga daripada lima beradik itu berkata ayah beliau sudah berpuluh tahun terlibat dalam aktiviti mencari siput selain biasa dengan selok-belok kawasan berkenaan.
"Memang ayah jarang ke kawasan ini, namun sekali sekala dia akan datang untuk mencari siput walaupun ia agak jauh ke dalam, malah kawasan paya bakau ini sangat luas mencecah lebih 1,200 hektar.
"Bagaimanapun, kami sekeluarga tidak putus asa dan sehingga hari ini, kami masih terus mencari dan kami mohon semua pihak doakan ayah kami segera ditemui," katanya.
Mohamad Noor Azlan menyifatkan kejadian itu sebagai sangat menyedihkan, apatah lagi nasib ayahnya belum diketahui dan mereka sekeluarga tertanya-tanya keadaan dan keberadaan ayahnya ketika ini.
Dalam kejadian 18 Jun lepas, Yahya bersama Azman keluar mencari siput pada sebelah pagi, namun sehingga jam 8.30 malam, kedua-duanya tidak pulang ke rumah seperti kebiasaan antara jam 5 dan 6 petang setiap hari.
Keluarga mangsa kemudiannya mengambil keputusan membuat laporan kehilangan di Balai Polis Pantai Remis pada 19 Jun dan operasi mencari mangsa digerakkan selepas itu. - Bernama
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!