Impian besar Bin Shen
JURULATIH beregu lelaki negara, Tan Bin Shen berharap 'air tangannya' membimbing Aaron Chia-Soh Wooi Yik sehingga bakal membuat kemunculan di Paris pada Sukan Olimpik 2024 bulan ini membuahkan hasil yang membanggakan buat Malaysia.
Selepas tidak merasai keseronokan beraksi di pentas terbesar dunia tersebut sebagai pemain, Bin Shen memasang impian agar anak buahnya itu mampu memahat keputusan positif untuk dihadiahkan buat rakyat negara ini.
Impian tersebut dipahat sejak menyertai Persatuan Badminton Malaysia (BAM) pada 2020 dengan misi setiap beregu bimbingan berupaya melangkah ke ke Olimpik.
“Perasaan dan impian saya sejak masuk BAM adalah untuk membantu pemain-pemain melayakkan diri ke Sukan Olimpik.
“Ia bukan satu tekanan, cuma harapan untuk mencapai sesuatu yang lebih besar. Saya juga harap boleh dapat apa yang dimahukan sebagai jurulatih,” katanya pada sidang media di Bukit Kiara pada Rabu.
Bin Shen yang kembali ke pangkuan BAM sebagai jurulatih pada Disember 2020 berjaya membantu pasangan nombor satu negara tersebut ke Paris selain memacu gandingan itu muncul juara dunia pada 2022.
Berbaki 15 hari menjelang Sukan Olimpik membuka tirai, beliau menyifatkan prestasi pasangan nombor lima dunia itu kian hampir ke tahap sebenar berdasarkan corak permainan mereka pamerkan dalam perlawanan simulasi.
“Semua persiapan bagus dan kita ada masa (latihan) seminggu lagi di sana (Paris). Setakat ini, boleh dikatakan prestasi mereka berada pada tahap 80 hingga 90 peratus,” ujar Bin Shen.
Aaron-Wooi Yik akan membuat penampilan kedua di Olimpik selepas membawa pulang pingat gangsa dari Tokyo bagi edisi 2020 tiga tahun lalu.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!