Bapa Baby Syifaa positif dadah

Laporan Sinar Harian pada Rabu.
Laporan Sinar Harian pada Rabu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bapa kepada Baby Syifaa yang ditahan polis pada Selasa berkaitan kes penipuan dalam urusan yuran guaman didapati positif dadah.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Asisten Komisioner Mohamad Lazim Ismail berkata, hasil ujian saringan air kencing dijalankan mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine.

Beliau berkata, ujian air kencing dibuat setelah suspek ditahan dalam satu serbuan di sebuah unit kediaman di Wangsa Maju, di sini berhubung kes penipuan berkaitan kutipan bagi bayaran guaman.

"Bertindak atas maklumat risikan, sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Komersil, Ibupejabat Polis (IPD) Wangsa Maju telah membuat serbuan di sebuah unit kediaman di Wangsa Maju, Kuala Lumpur pada Selasa.

"Pihak polis telah berjaya membuat tangkapan seorang lelaki berusia 41 tahun dan merampas dua buah unit telefon bimbit milik suspek.

"Hasil saringan ujian air kencing juga mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Mohamad Lazim berkata, suspek ditahan reman selama tiga hari bermula Rabu hingga Jumaat untuk siasatan lanjut.

Beliau berkata, pihaknya menerima beberapa laporan polis dibuat oleh beberapa individu yang menjadi mangsa berhubung penipuan berkaitan kutipan bagi bayaran guaman pada tahun lalu.

Artikel Berkaitan:

"Hasil siasatan lanjut mendapati kesemua mangsa telah berurusan dengan suspek iaitu seorang lelaki yang mengaku sebagai orang tengah dalam urusan guaman.

"Bayaran telah dibuat kepada suspek, namun kesemua mangsa merasa tertipu selepas mendapati wang tersebut telah digunakan untuk kegunaan peribadi," katanya.

Sehubungan itu, katanya, tiga kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dengan jumlah kerugian berjumlah RM146,087.

"Pihak polis menasihati orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dan menjadi mangsa kepada individu yang menawarkan khidmat guaman dan kutipan dana.

"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian jenayah boleh menyalurkannya kepada IPD Wangsa Maju di talian 03-92899222 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau mana-mana balai polis berhampiran," ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!