Berbaloikah bawa selebriti China ke Melaka?
NAMA Fan Bingbing di Malaysia tidaklah segah seperti beberapa pelakon antarabangsa lain, tetapi selepas kerajaan negeri Melaka melantiknya menjadi Duta Setiakawan Pelancongan Melaka sempena Tahun Melawat Melaka 2024, nama selebriti berusia 42 tahun itu terus melonjak.
Bingbing mengadakan kunjungan selama empat hari ke Melaka bulan lalu dengan pelbagai atur cara disusun. Kini namanya kembali menjadi bualan selepas Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya Melaka, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman pada Selasa mendedahkan kos tajaan melantik bintang tersebut ialah RM498.347.
Berbaloikah mengeluarkan wang sebanyak itu untuk seorang artis luar? Ada yang mengatakan ia membazir, tidak kurang mempersoalkan tindakan kerajaan kerana menggunakan selebriti tempatan.
Jika dilihat dari pelbagai sudut, langkah kerajaan negeri itu satu idea yang bijak walaupun kontroversi.
Bingbing pernah membintangi filem adiwira Hollywood, X-Men: Days of Future Past. Beliau pernah menghiasi kulit majalah Time dan tersenarai antara 100 orang paling berpengaruh.
Mengikut cerita, sebelum dilantik sebagai duta pelancongan Melaka, Bingbing menyimpan impian untuk melancong ke Melaka. Hasratnya itu dapat dihidu kerajaan negeri Melaka, melihat ia satu peluang besar mempromosikan negeri itu dengan kos jauh lebih murah.
Melihat kepada 26 juta pengikut Bingbing di media sosial, kerajaan negeri yakin Bingbing berpontensi menarik orang luar terutama pelancong China datang ke Melaka bagi merancakkan lagi ekonomi setempat.
Jika kerajaan negeri melantik selebriti tempatan, mungkin orang Malaysia sahaja yang kenal, sudah tentu tidak mampu mempengaruhi orang luar datang ke Melaka.
Umum mengetahui sumber pendapatan utama Melaka adalah sektor pelancongan, jadi bukan luar biasa jika kerajaan negeri membuat pelaburan besar untuk menarik lebih ramai pelancong ke negeri itu.
Apatah lagi ada syarikat swasta yang sedia menaja sebahagian kos. Daripada jumlah hampir setengah juta ringgit, kerajaan negeri hanya membelanjakan RM77,850 atau 16 peratus daripada keseluruhan kos, manakala selebihnya RM420,497 ditanggung beberapa syarikat.
Pulangan pelaburan itu bagaimanapun mungkin tidak akan menjana keuntungan besar dalam masa terdekat kerana ia lebih kepada strategi promosi jangka panjang.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!