Rafah jadi bandar hantu berdebu angkara Israel
KHAN YUNIS - Rafah di bahagian paling selatan Genting Gaza kini menjadi bandar hantu yang diselubungi debu tebal selepas rejim Zionis melancarkan kempen pencerobohan pada 6 Mei lalu.
Keadaan terkini itu didedahkan wartawan foto Associated Press (AP) yang menjadi kumpulan petugas media pertama dibenarkan 'melawat' bandar tersebut yang menjadi tempat berlindung lebih dua juta penduduk Palestin setelah perang genosid di enklaf tersebut memasuki bulan ke-10.
Pasukan Pertahanan Israel (IDF) memberi alasan operasi 'terhad' itu bertujuan menyasarkan pejuang Hamas, namun orang awam termasuk kanak-kanak terus menjadi korban kezaliman mereka.
Selepas tempoh dua bulan ofensif berskala besar itu dilancarkan, kebanyakan struktur binasa sepenuhnya bersama timbunan sisa runtuhan di sekitar Rafah terletak bersempadan Mesir yang berkeluasan kira-kira 65 kilometer persegi.
Sejak beberapa bulan lalu, kawasan tersebut dianggap sebagai 'zon selamat' oleh lebih 1.4 juta penduduk Palestin yang melarikan diri daripada kempen pengeboman di utara dan tengah Gaza.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menganggarkan kira-kira 50,000 penduduk Palestin masih kekal di kawasan itu yang terus dihujani bom kerana tiada lagi tempat mahu dituju.
Mereka juga terpaksa bersesak di 'bandar khemah' dalam keadaan serba daif dan tanpa bekalan air bersih.
Bantuan terus disekat
Krisis kemanusiaan di Genting Gaza semakin buruk selepas konvoi trak bantuan terus terkandas di lintasan sempadan Rafah di Mesir berikutan rejim Zionis berkeras enggan memberi kebenaran kepada mereka untuk memasuki ke wilayah terkepung berkenaan.
Keadaan menjadi lebih teruk sejak IDF merampas kawalan koridor itu hingga mengakibatkan penangguhan proses penghantaran selama hampir dua bulan.
Kumpulan pemandu trak berkenaan yang terpaksa meletakkan kenderaan masing-masing di pinggir bandar al-Arish di Semenanjung Sinai selama berminggu turut menzahirkan rasa kecewa terhadap sekatan rejim Zionis.
Cuaca panas melampau dan proses yang sengaja ditangguhkan telah menyebabkan sebahagian bekalan makanan rosak dan perlu dibuang.
“Kami perlu menunggu lebih 50 hari. Muatan trak kami akhirnya dikembalikan kerana sudah tamat tempoh. Perkara itu berulang dan tidak tahu apa akan berlaku kepada muatan baharu ini,” ujar pemandu trak, Elsayed el-Nabawi.
Sebelum lintasan itu dikawal IDF, laluan tersebut menjadi talian hayat kepada penduduk Palestin yang mengharapkan penghantaran bantuan kemanusiaan dari Mesir selain untuk memindahkan pesakit dan mangsa cedera dari Gaza.
Ketika ini, kumpulan bantuan memberi amaran tentang risiko kebuluran yang tinggi di seluruh wilayah berkenaan setelah majoriti penduduk Palestin mengalami malnutrisi.
“Mereka hanya tinggal tulang kerana tidak mendapat zat makanan yang mencukupi,” kata Pembantu Menteri di Kementerian Luar Emiriah Arab Bersatu (UAE), Maha Barakat sambil menambah keadaan itu menyebabkan mangsa yang cedera sukar untuk pulih. - Agensi
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!