'Usah takut melabur dalam bidang sukan'

Arifin. Foto Sinar Harian - ROSLI TALIB
Arifin. Foto Sinar Harian - ROSLI TALIB
A
A
A

PENERAJU perniagaan disaran untuk mengorak langkah proaktif berkolaborasi bersama Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bagi membentuk persekitaran komuniti sukan yang harmoni di negara ini.

Pengerusi Eksekutif Bubbles O2 Sdn Bhd, Arifin Marzuki berkata, usahawan tidak perlu berasa gusar untuk melabur dalam organisasi dan badan sukan kerana ia mampu menjulang jenama mereka.

Beliau berkata, kebimbangan mengenai pulangan di atas setiap penajaan mungkin menjadi cabaran buat pemilik industri, namun mereka perlu percaya ia adalah proses yang baik bagi memacu perniagaan ke peringkat lebih tinggi.

"Saya saran dan amat menggalakkan (ahli perniagaan) berbelanja (melabur) dalam bidang sukan. Sebab ramai yang takut nak melabur dan menjadi rakan kongsi (organisasi sukan).

"Nak sumbang dalam bidang sukan, adakah dapat balik ROI (pulangan daripada pelaburan). Sebab ada situasi begini,'aku belanja sekarang, adakah aku akan dapat balik esok (keuntungan).

"Kita kena faham ia memerlukan masa (bina jenama perniagaan). Kami lihat sukan boleh naikkan jenama dan luaskan pasaran. Sukan memiliki pengikut yang ramai," katanya.

Hannah (tengah) menyaksikan penyerahan replika perjanjian persefahaman antara MSN dan Bubbles O2 di Bukit Jalil pada Selasa. Turut kelihatan Abdul Rashid (kanan) dan Arifin (dua dari kiri). Foto Sinar Harian - ROSLI TALIB
Hannah (tengah) menyaksikan penyerahan replika perjanjian persefahaman antara MSN dan Bubbles O2 di Bukit Jalil pada Selasa. Turut kelihatan Abdul Rashid (kanan) dan Arifin (dua dari kiri). Foto Sinar Harian - ROSLI TALIB

Beliau ditemui media pada majlis menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoA) antara Bubbles O2 dengan Majlis Sukan Negara (MSN) di Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada Selasa.

Artikel Berkaitan:

Majlis perasmian disempurnakan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dan turut hadir Ketua Pengarah MSN, Abdul Rashid Yaakub.

Arifin turut berkongsi pengalaman bekerjasama dengan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) yang memberi impak amat positif buat Bubbles O2 yang merupakan satu-satunya pengeluar air mineral beroksigen semula jadi di negara ini.

"Jenama anda boleh nampak di mana-mana sebab anda berkolaborasi dengan organisasi yang bagus seperti MFL dan MSN. Malah setiap urusan dijalankan secara profesional.

"Kerjasama dengan MSN misalnya, ia melibatkan semua bidang sukan, jadi kami berbelanja secara menyeluruh (manfaat pelbagai jenis sukan)," katanya.

Beliau juga menjelaskan mengenai tarikan yang mendorong Bubbles O2 bekerjasama dengan organisasi sukan dan MSN adalah disebabkan minat mendalam dalam bidang tersebut.

"Malah ia dapat mengharmonikan masyarakat di negara ini. Kami ada air mineral dan ia satu jalan yang strategik untuk memberi kepada komuniti sukan yang memerlukan hidrasi dan mengembalikan tenaga," ujar Arifin.

Mengulas mengenai kerjasama dengan MSN, beliau memberitahu, ia melibatkan tempoh kolaborasi selama tiga tahun hingga 2027 mencecah penajaan RM700,000 setiap tahun.

"Penajaan berupa air mineral dan wang tunai. Diharapkan ia dapat memartabatkan sukan negara. Insya-ALLAH disebabkan minat kerjasama seperti ini akan diperluaskan," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!