Bagaimana nasib Olimpik Paris 2024?
PARIS - Berbaki beberapa minggu sahaja lagi menjelang pembukaan Sukan Olimpik 2024, pelbagai kemelut dan 'drama' melanda Perancis, seolah-olah memberi gambaran awal bahawa penganjuran kali ini akan mengalami nasib yang agak kelam dan berliku.
Mengimbau semula detik perjalanan sebelum menjadi tuan rumah sukan paling berprestij itu, ia bukanlah sesuatu yang mudah kerana Perancis pernah dikecewakan selama tiga kali apabila tewas dalam proses membida pada tahun 1992, 2008 dan 2012.
Bagaimanapun pada 2017, negara itu diberi hak penganjuran untuk meganjurkannya pada 2024.
Kemenangan itu begitu diraikan hinggakan akhbar Perancis menjadikan ia tajuk muka utama dengan judul Le Parisien yang menyatakan ‘Kali ini kami memenanginya’.
Cubaan sabotaj
Apa yang lebih menakutkan Perancis apabila rakyat negara itu sendiri yang mahu mensabotaj penganjuran sukan berkenaan.
Malah ada ancaman yang dilakukan oleh rakyatnya yang mahu membuang air besar di Sungai Seine dalam satu protes menjelang Kejohanan Sukan Olimpik tersebut.
Orang ramai yang marah kerana tidak berpuas hati dengan kos pembersihan dan penyelenggaraan sungai itu, berhimpun bagi menzahirkan rasa tidak puas hati.
Dilaporkan, lebih daripada 1.4 bilion euro (RM7.05 bilion) dibelanjakan untuk menjadikan air sungai itu cukup selamat untuk berenang, dengan acara triatlon dan renang air terbuka dijadualkan berlangsung di sungai itu.
Bagaimanapun, laporan yang diterbitkan baru-baru ini menunjukkan air sungai terbabit masih terlalu kotor untuk berenang, hanya beberapa minggu sebelum acara triatlon pertama.
Suhu politik Perancis panas menjelang Olimpik
Luka menjelang sukan olimpik makin 'menyakitkan' apabila Perancis dilanda pergolakan politik, menjadikannya sukar untuk mengetahui siapa yang akan berada di posisi penting kerajaan apabila temasya sukan itu di buka pada 26 Julai ini.
Buat sementara, Presiden Perancis, Emmanuel Macron meminta Perdana Menteri, Gabriel Attal untuk terus memegang jawatannya `buat masa ini'.Ia susulan keputusan pusingan kedua pilihan raya parlimen awal menunjukkan tiada satu pun daripada tiga pakatan utama yang memperoleh kerusi yang mencukupi untuk membentuk kerajaan.
Difahamkan, Attal juga ketika ini diberi tanggungjawab untuk memastikan kelancaran penganjuran sukan berkenaan.
Khabar angin pembatalan Sukan Olimpik Paris
Dengan pelbagai onak dan duri yang berlaku, bagaimanapun Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) menolak khabar angin mengenai pembatalan atau penangguhan Sukan Olimpik Paris 2024 berikutan situasi politik di Perancis.
IOC menyatakan ia adalah sebahagian daripada kempen maklumat palsu, lapor Emirates News Agency (WAM).
“Ini jelas merupakan sebahagian daripada kempen maklumat palsu yang sedang berlangsung terhadap Perancis, IOC dan presidennya serta Sukan Olimpik. Ia tidak mempunyai asas fakta sama sekali,” menurut IOC baru-baru ini di platform X.
“Presiden IOC dan seluruh Gerakan Olimpik teruja menantikan aksi cemerlang Sukan Olimpik Paris 2024,” kata IOC lagi.
Olimpik Paris akan berlangsung bermula 26 Julai hingga 11 Ogos ini. - Agensi
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!