Bukan darat saja, air kita pun turut dijajah
MINGGU lalu heboh mengenai penemuan bangkai ikan bermulut buaya, aligator gar di Tasik Metropolitan, Kepong, Kuala Lumpur.
Sebenarnya, itu bukan penemuan kali pertama di perairan negara kerana terdapat beberapa laporan lain direkodkan sebelum ini.
Aligator gar atau nama saintifiknya Atractosteus spatula banyak dijual dalam pasaran ikan hiasan di seluruh dunia. Spesies ini berasal dari Amerika Syarikat.
Walaupun ikan ini hidup di air tawar, ia juga boleh ditemui di air payau. Ini mengesahkan mengapa ia turut dijumpai di perairan pantai Malaysia, empat tahun lalu.
Cumanya, ia lebih suka air yang tenang seperti dalam tasik, paya atau anak sungai.Meskipun tiada sebarang laporan kes ancaman terhadap manusia, ikan ini merupakan pemangsa oportunis, selain telurnya yang beracun.
Pakar Perikanan, Dr Fitri Yusoff dalam hantaran di media sosial menyebut, ikan-ikan kecil, ketam, udang, burung dan mamalia kecil merupakan diet seharian aligator gar
Saiznya mampu mencapai tiga meter panjang dengan berat lebih 150 kilogram. Lagi banyak sumber makanan, lagi besarlah ia! Aligator gar mempunyai kepala mirip buaya, dengan gigi tajam yang memudahkan ikan predator ini memangsakan haiwan hidup.
Menurut National Geographic, aligator gar mampu bertahan hidup selama beberapa hari tanpa makan, namun semasa habitatnya tersedia banyak makanan, ia cenderung makan sebanyak-banyaknya.
Aligator gar diperkenalkan di Malaysia sebagai haiwan hiasan dalam akuarium, namun dilepaskan ke perairan tempatan apabila sudah terlalu besar dan tuannya tidak mampu membelanya lagi.
Akhirnya, ia bebas menjarah paya, sungai, tasik dan perairan negara tanpa disedari bersama-sama ikan pendatang yang lain.
Antara ikan pendatang lain yang kerap ditemui di negara kita ialah spesies baung ekor merah, tilapia, ikan bandaraya atau Hypostomus plecostomus, keli Afrika dan patin Siam.
Jika tiada kawalan dan usaha membasmi ikan asing secara berterusan di sungai dan tasik, tidak mustahil dalam tempoh 15 hingga 20 tahun sumber perikanan darat atau ikan asli terus berkurang dan dikhuatiri pupus.
Jika di air spesies asli seperti arowana, temoleh, kelah, patin liar dan tapah di perairan sungai utama Semenanjung negara ‘dijajah’ oleh ikan-ikan pendatang, di darat pula tidak ketinggalan dengan lambakan pendatang asing tanpa izin (PATI).
Setiap minggu boleh dikatakan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) melipatgandakan operasi di seluruh negara bagi membanteras kehadiran PATI. Syabas kepada JIM.
Namun apa yang hairan, kemasukan PATI ini tetap berlaku. Dalam laporan akhbar minggu lalu, seorang PATI sanggup membayar RM3,000 untuk memasuki negara ini secara haram sedangkan pintu masuk Malaysia secara sah terbuka luas.
Kerajaan membelanjakan RM84.8 juta kos keseluruhan bagi mengurus 13,440 PATI yang ditahan di 21 depot imigresen tahun lalu termasuk kos makan dan minum seorang tahanan sebanyak RM13.50 sehari.
Tambahan pula, kesesakan di depot memaksa kerajaan membelanjakan RM77.5 juta bagi pembinaan depot baharu di Jawi, Pulau Pinang yang dijangka siap pada hujung bulan ini. Tahun lalu, kerajaan mengusir 12,380 warga asing ke negara masing-masing.
Kedua-dua isu pendatang ini iaitu aligator gar dan PATI, jika tidak dibendung secara total hanya akan mendatangkan kerugian terhadap negara.
Namun, tugas menanganinya bukan terletak di bahu penguat kuasa sahaja tetapi sebagai warga Malaysia yang mempunyai semangat patriotik perlu bersama-sama menjalankan tanggungjawab.
Pada masa sama, jangan ada majikan yang cuba melakukan khianat pada negara dengan menggajikan PATI semata-mata untuk meraih keuntungan berganda sama ada di ladang, tapak pembinaan, jalanan mahupun pusat beli-belah.
Tanah air ini akan kita wariskan kepada generasi akan datang.
*Tuan Buqhairah Tuan Muhamad Adnan ialah wartawan Sinar Harian
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!