Tertekan kerja tanpa henti, robot terjun bunuh diri?
SEOUL - Dalam insiden pertama seumpamanya di Korea Selatan, pihak berkuasa telah melaporkan bahawa robot yang bekerja sebagai kakitangan kerajaan di Majlis Bandaraya Gumi 'membunuh diri'.
Media antarabangsa melaporkan, robot itu yang digunakan sejak Oktober 2023 bertanggungjawab untuk menghantar dokumen, memberikan maklumat kepada penduduk dan mempromosikan pelancongan Korea Selatan dengan bekerja tanpa henti dari 9 pagi hingga 6 petang.
Ia dipercayai terjun dari sebuah tangga bagi menamatkan 'riwayatnya', yang didakwa kerana 'tekanan emosi' akibat tekanan kerja yang melampau.
Pakar bagaimanapun mengatakan robot itu mungkin mengalami kerosakan teknikal akibat peningkatan beban kerja.
Korea Selatan telah menggunakan robot dalam pelbagai bidang selama bertahun-tahun.
Insiden itu telah mengejutkan warga Korea Selatan, yang menyaksikan robot itu berputar di satu tempat sebelum terhempas ke bawah tangga, mengakibatkan kemusnahannya.
Robot itu merupakan keluaran syarikat dari California, Bear Robotics.
Insiden itu menyebabkan rakyat negara berkenaan tertanya-tanya berhubung etika dalam memberikan beban kerja yang berat kepada robot.
Sebagai tindak balas insiden itu, Majlis Bandaraya Gumi menangguhkan rancangan untuk memperkenalkan kakitangan robot yang kedua. - Agensi.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!