Nostalgia mengaji al-Quran 1980-an di reruai WUI

Pengunjung Karnival Rakyat Karangkraf 2024 bakal merasai nostalgia mengaji al-Quran zaman dahulu di reruai Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUI) pada 26 hingga 28 Julai ini. Gambar hiasan (Gambar kecil: Muhammad Alfi Ajwad)
Pengunjung Karnival Rakyat Karangkraf 2024 bakal merasai nostalgia mengaji al-Quran zaman dahulu di reruai Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUI) pada 26 hingga 28 Julai ini. Gambar hiasan (Gambar kecil: Muhammad Alfi Ajwad)
A
A
A

SHAH ALAM - Pengunjung Karnival Rakyat Karangkraf 2024 bakal merasai nostalgia mengaji al-Quran zaman dahulu di reruai Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUI) pada 26 hingga 28 Julai ini.

Eksekutif Pentadbiran WUI, Muhammad Alfi Ajwad Rusmadi berkata, peluang itu dibuka kepada semua pengunjung tanpa mengira peringkat usia yang hadir dalam program selama tiga hari tersebut.

“Saya pasti ramai yang rindu suasana mengaji al-Quran ketika zaman tahun 1980 hingga 1990-an. Berjalan ramai-ramai ke rumah guru mengaji, masing-masing kena tunggu giliran hendak membaca al-Quran.

“Berdebar sambil menunggu giliran berhadapan dengan guru garang yang memegang rotan. Datanglah ke reruai kami untuk mengembalikan nostalgia itu. Siapa yang merebut peluang mengaji seminit bersama kami akan mendapat hadiah menarik,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Tambah Muhammad Alfi Ajwad, selain pelbagai aktiviti menarik diadakan di reruai, WUI turut mengadakan sesi istimewa bersama pengunjung pada 28 Julai bertempat di Studio My #QuranTime.

“Pada sebelah pagi akan diadakan sesi perkongsian bersama agamawan dan petangnya pengunjung berpeluang menyertai Simulasi My #QuranTime di mana mereka boleh merasai sendiri pengalaman menjadi qari dan pentadabbur al-Quran.

“Moga aktiviti disediakan ini membantu pengunjung menambah ilmu pengetahuan. Hidupkanlah amalan membaca, memahami dan mengamalkan isi kandungan al-Quran agar ia berupaya menjadi inspirasi untuk mencapai kejayaan dan kecemerlangan di dunia serta akhirat,” kongsinya.

Karnival Rakyat Karangkraf akan diadakan pada 26 sehingga 28 Julai ini bermula jam 9 pagi hingga 7 malam di Kumpulan Karangkraf, Seksyen 15 di sini.

Artikel Berkaitan:

Penganjuran karnival berkenaan sempena ulang tahun ke-18 Sinar Harian meraikan keunikan warisan budaya Malaysia serta memberikan penghargaan kepada pembaca setia akhbar tersebut.

Karnival Rakyat Karangkraf 2024 bakal membawa kelainan dengan mengembalikan nostalgia zaman dahulu menerusi tema tradisional dan kerakyatan.

Antara aktiviti menarik yang disediakan ialah SinarPlus MakanFest, Fiesta Kucing Tomkraf, Jualan Rahmah, pertunjukan seni persembahan, permainan tradisional dan sukan kampung, riuh rewang, rumah hantu, hari kantin sekolah Sinar Bestari, demonstrasi badan unit beruniform serta cabutan bertuah.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!