Dua mayat ditemui kembung, berbau busuk dalam kereta
BUKIT MERTAJAM - Titisan air dari sebuah kereta yang diletak di tepi jalan di sebuah taman perumahan di Taman Sri Rambai, di sini, membawa kepada penemuan dua mayat.
Mayat dua wanita dipercayai berusia lingkungan 20-an ditemui orang awam kira-kira jam 5.30 petang semalam, sebelum dimaklumkan kepada pihak polis.
Pemeriksaan pasukan polis dan bomba mendapati mayat sudah kembung dan berbau busuk, berada di tempat duduk hadapan kereta jenis Honda WRV.
Siasatan awal mendapati kedua-dua si mati berkemungkinan sudah meninggal dunia lebih daripada lima hari.
Terdahulu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, memaklumkan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Perda bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan meminta bantuan membuka pintu kereta terkunci pada jam 7.41 malam.
Sebaik tiba, pasukan penyelamat yang lengkap dengan pemakaian PPE (pakaian perlindungan diri) berjaya membuka pintu kereta yang terkunci menggunakan peralatan khas.
Katanya, terdapat dua mayat perempuan dewasa berada di tempat duduk hadapan kereta berkenaan.
Pihaknya kemudian menyerahkan kes itu kepada polis bagi tindakan lanjut.
Dua mayat ditemui kembung, berbau dalam kereta di Bukit Mertajam
Salah seorang mangsa dipercayai berasal dari Negeri Sembilan namun identiti kedua-duanya belum dapat disahkan buat masa ini.
Semasa pemeriksaan, turut ditemui nombor telefon ahli keluarga salah seorang mangsa yang diletakkan di atas papan pemuka kereta berkenaan.
Mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Bukit Mertajam untuk bedah siasat. - Awani
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!