VAR rosakkan bola sepak - Koeman
PENGENDALI Belanda, Ronald Koeman mengakui kekalahan 1-2 kepada England dalam aksi separuh akhir Euro 2024 pada awal pagi Khamis sebagai satu keputusan yang sukar untuk diterima.
Koeman berkata, keputusan penalti kontroversi yang diberikan kepada England dan jaringan Ollie Watkins pada penghujung perlawanan menafikan peluang Belanda untuk mara ke perlawanan akhir.
"Saya kecewa dengan keputusan akhir dalam perlawanan yang bermula dengan sangat baik untuk kami," katanya.
Belanda terlebih dahulu berada di depan menerusi jaringan Xavi Simons sebelum Harry Kane menyamakan kedudukan daripada sepakan penalti kontroversi.
Kedua-dua pasukan seperti akan beraksi pada masa tambahan sebelum pemain gantian England, Watkins menjaringkan gol pada minit ke-91 untuk menghantar England ke final menentang Sepanyol.
Penalti England diberikan selepas Kane didakwa dikasari oleh Denzel Dumfries walaupun sentuhan itu agak minimum dan tidak berbahaya.
Namun, pengadil Jerman Felix Zwayer memberikan penalti selepas menyemak video bantuan pengadil (VAR).
"Apa yang anda boleh lakukan sebagai pemain pertahanan? Pada pendapat saya ia tidak sepatutnya penalti.
"Kami tidak boleh bermain bola sepak dengan betul dan itu disebabkan VAR. Ia merosakkan bola sepak," katanya.
Koeman juga percaya pasukannya dapat mengawal permainan pemain tengah Joey Veerman dimasukkan pada minit ke-35 menggantikan Memphis Depay yang cedera membolehkan mereka membendung serangan England.
“Kami menghadapi beberapa kesukaran di bahagian tengah untuk menghalang pemain bagus seperti (Jude) Bellingham dan (Phil) Foden.
"Kami tidak mengawal permainan. Kami membuat beberapa perubahan untuk mengawal semula dan merasakan bahawa dalam 20 minit terakhir kami adalah pasukan yang lebih baik dan lebih banyak menyerang.
"Tetapi kemudiannya gol yang hebat pada minit ke-90 dan kemudian ia berakhir. Ia sukar untuk diterima," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!