Padah sorok 388kg minyak masak peket dalam stor

Serbuan menerusi Op Samar dilakukan selepas KPDN menerima aduan awam bahawa sebuah premis enggan menjual minyak masak peket. Foto KPDN Perak
Serbuan menerusi Op Samar dilakukan selepas KPDN menerima aduan awam bahawa sebuah premis enggan menjual minyak masak peket. Foto KPDN Perak
A
A
A

TELUK INTAN - Tindakan sebuah pasar raya di Langkap di sini menyembunyikan minyak masak peket 1 kilogram bersubsidi mengundang padah apabila diserbu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) pada Rabu.

Serbuan menerusi Op Samar jam 12.17 tengah hari itu dilakukan sepasukan anggota penguat kuasa KPDN Teluk Intan selepas menerima aduan awam bahawa premis berkenaan enggan menjual bekalan barangan kawalan itu.

Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, hasil pemeriksaan berjaya menemui 388 kilogram minyak masak peket yang diletakkan dalam stor simpanan barang premis berkenaan.

Menurutnya, semasa uji beli dilakukan, jurujual memaklumkan bekalan minyak tersebut telah kehabisan stok.

Kesemua 388 kilogram minyak masak peket yang diletakkan dalam stor simpanan barang premis telah disita untuk siasatan lanjut. Foto KPDN Perak
Kesemua 388 kilogram minyak masak peket yang diletakkan dalam stor simpanan barang premis telah disita untuk siasatan lanjut. Foto KPDN Perak

"Pemeriksaan di ruangan dan rak jualan mendapati minyak masak peket kosong dan tiada bekalan.

"Bagaimanapun pemeriksaan lanjut ke dalam stor menemui bekalan yang tersimpan sebanyak 388 kilogram dengan anggaran nilai RM970," katanya dalam kenyataan di sini pada Khamis.

Beliau berkata, kesemua bekalan minyak itu telah disita dan satu arahan pengisytiharan stok di bawah Seksyen 8 Akta Kawalan Bekalan 1961 telah diberikan kepada penyelia premis.

Artikel Berkaitan:

Katanya, kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali, manakala bagi syarikat yang melakukan suatu kesalahan terhadap Akta ini pula boleh denda tidak melebihi RM2 juta.

"KPDN tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang didapati terlibat dalam aktiviti atau sindiket penyalahgunaan barang-barang kawalan seperti minyak masak peket ini.

"Kita akan memastikan tindakan lebih tegas termasuklah pendakwaan di mahkamah," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!