Penunggang p-hailing maut nahas dua motosikal
IPOH - Seorang penunggang p-hailing maut selepas terlibat dalam kemalangan membabitkan dua motosikal di simpang Dataran Perpaduan 3, Jalan Perpaduan dekat Tambun pada Rabu.
Dalam kejadian sekitar jam 6.30 petang itu, mangsa, Muhamad Azmeer Mazlan, 26, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika motosikal ditunggang mangsa keluar simpang untuk membelok ke kanan.
"Ketika keluar, motosikal mangsa memasuki laluan penunggang motosikal yang datang dari arah Tambun menghala ke Bercham.
"Disebabkan jarak terlalu dekat, penunggang berusia 16 tahun itu tidak sempat mengelak dan melanggar di bahagian sisi kanan motosikal mangsa," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Khamis.
Menurut beliau, akibat pelanggaran itu, motosikal mangsa hilang kawalan dan terseret ke bahu kanan jalan sebelum terjatuh.
"Mangsa mengalami kecederaan parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
"Mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik, Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini untuk dibedah siasat," katanya.
Abang Zainal Abidin berkata, remaja lelaki terbabit turut mengalami kecederaan ringan dihantar ke hospital sama untuk rawatan lanjut.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dengan melulu atau membahayakan hingga menyebabkan kematian.
"Polis meminta saksi kejadian untuk tampil atau menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Edwin Tang Chiew Song di talian 016-5506863 bagi membantu siasatan," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!