'Rampas kerusi Parlimen Seri Gading, kenyataan kurang cermat Onn Hafiz'

Dari kiri: Muhammad Faezuddin Puad, Onn Hafiz Ghazi
Dari kiri: Muhammad Faezuddin Puad, Onn Hafiz Ghazi
A
A
A

JOHOR BAHRU – Kenyataan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi secara terbuka meminta pemimpin UMNO merampas kerusi Parlimen Sri Gading yang masih disandang oleh pemimpin Pakatan Harapan (PH), dilihat sebagai kenyataan yang kurang cermat.

Menurut Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Johor, Muhammad Faezuddin Puad, kenyataan tersebut seolah-olah mempunyai agenda bertentangan dengan semangat kerjasama selain menjejaskan keharmonian dalam kalangan rakan-rakan parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan.

“Onn Hafiz harus menjadikan Presiden UMNO sebagai contoh terbaik...sentiasa meminta semua pimpinan dan ahli UMNO menghormati kerusi yang telah dimenangi parti komponen dan bersatu hati memelihara Kerajaan Perpaduan. Minta kita semua, jadikan setiap PRK (pilihan raya kecil) dan PRN (pilihan raya negeri), sebagai medan latihan keserasian parti dalam Kerajaan Perpaduan,”

“Bahkan, Presiden UMNO turut membantu calon PH di semua PRK sama ada melibatkan kerusi Parlimen mahupun kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Oleh itu, kenyataan-kenyataan yang baik sebegini juga patut dicontohi PKR dan semua rakan-rakan parti komponen yang lain,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Muhammad Faezuddin berkata demikian bagi mengulas kenyataan Onn Hafiz baru-baru ini yang mengatakan inisiatif perlu dilakukan segera bagi memastikan UMNO dapat merampas kembali kerusi Parlimen Sri Gading.

Media melaporkan, Onn Hafiz dilaporkan berkata, "hanya perwakilan yang tahu apa berlaku di Sri Gading...saya tidak mempunyai jawapan tetapi UMNO (Cawangan Sri Gading), perlu melihat dan memastikan, terutamanya ahli, bersama-sama kita. Sebab itu pendekatan ini penting...sebelum kita hendak meyakinkan rakyat di luar sana, kita perlu diyakinan dahulu,’ katanya.

Sementara itu Faezuddin berkata, sikap saling hormat-menghormati serta tidak mengeluarkan perkataan-perkataan yang akan menyinggung sesama parti dalam Kerajaan Perpaduan adalah salah satu kunci penting bagi memelihara kestabilan politik di negeri dan negara kita.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!