Keputusan Speaker penghinaan kepada reformasi institusi Parlimen

Wan Ahmad Fayhsal
Wan Ahmad Fayhsal
A
A
A

SHAH ALAM - Keputusan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul tidak mengosongkan enam kerusi ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dianggap sebagai satu penghinaan kepada reformasi institusi Parlimen.

Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, reformasi itu diluluskan secara bersama oleh semua ahli Parlimen sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.

"Demokrasi Parlimen kita telah dimalukan Yang Dipertua Dewan Rakyat bila keputusan untuk kosongkan kerusi enam ahli Parlimen Bersatu yang melompat tidak berlaku!

"Ini satu ejekan. Ini bukan reformasi tapi reformati!," dakwanya dalam satu hantaran dan rakaman video di Facebook pada Rabu.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) merangkap Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin terdahulu mengesahkan Johari memutuskan menolak permohonan parti itu supaya kerusi enam ahli Parlimennya yang berpaling tadah dikosongkan.

Menurut Ahli Parlimen Pagoh berkenaan, Johari memaklumkan tidak berlaku kekosongan kerusi di bawah Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan untuk keenam-enam kerusi berkenaan.

Ekoran itu, Wan Ahmad Fayhsal yang juga Ahli Parlimen Machang menegaskan, pihaknya akan membangkitkan mengenai keputusan Speaker tersebit di Dewan Rakyat pada Khamis.

"Dalam kenyataan media PN yang dibuat oleh Muhyiddin memang kami tidak berpuas hati dan esok kita akan cuba bangkit serta persoalkan dalam Dewan Rakyat yang mulia.

Artikel Berkaitan:

"Kami akan bertanya kepada Yang Dipertua dan semua ahli Parlimen yang pernah menyokong pindaan perlembagaan akta antilompat parti ini. Apa pendirian kamu (ahli Parlimen) sebenarnya dalam hal ini?

"Kalau kamu reda, kamu juga penipu, berbohong dan pengkhianat kepada rakyat Malaysia. Kamu telah mungkir janji dalam reformasi Parlimen. Kamu izinkan ahli Parlimen yang mengkhianati tersebut melompat parti. Ia bertentangan dengan prinsip dan nilai yang kamu sendiri perjuangkan sebelum ini," ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!