Gegaran gempa bumi cetus panik di Sabah

Kakitangan di bangunan Yayasan Sabah keluar dari bangunan selepas merasai gegaran akibat gempa bumi di Mindanao, Filipina.
Kakitangan di bangunan Yayasan Sabah keluar dari bangunan selepas merasai gegaran akibat gempa bumi di Mindanao, Filipina.
A
A
A

KOTA KINABALU - Kakitangan yang bekerja di bangunan sekitar pusat bandar raya ini panik seketika selepas merasai gegaran selama beberapa saat sebelum bertindak keluar daripada bangunan masing-masing.

Gegaran tersebut dipercayai susulan daripada kejadian gempa bumi kuat yang berlaku di Mindanao, Filipina, pada jam 10.13 pagi Khamis.

Menurut seorang kakitangan kerajaan dikenali sebagai Jafar, 40, ketika kejadian dia berada di pejabatnya di tingkat lapan bangunan Menara Kastam merasai gegaran selama lima saat dalam beberapa kali.

"Gegaran tidak juga lama dalam lima saat tapi tiga ke empat kali dalam masa 30 saat. Selepas itu tiada sudah gegaran.

"Selain itu, rak tempat simpan baju juga bergoyang akibat gegaran tersebut," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.

Bagaimanapun, Jafar berkata, dia tidak keluar daripada bangunan kerana kakitangan di kawasan bangunan berhampiran juga tiada yang berkumpul di luar.

Sebelum itu, tular video dan gambar di media sosial memaparkan kakitangan yang berada di bangunan Yayasan Sabah keluar dari bangunan 30 tingkat tersebut selepas turut merasai gegaran berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Kakitangan dan orang awam berkumpul di kawasan tempat berkumpul selepas merasai gegaran sekitar Kota Kinabalu.
Kakitangan dan orang awam berkumpul di kawasan tempat berkumpul selepas merasai gegaran sekitar Kota Kinabalu.

Sementara itu, Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah melaporkan pasukan bomba telah menjalankan pemantauan dan pengungsian banguan di sekitar Kota Kinabalu, Penampang, Tawau, Sandakan, Ranua dan Kota Belud susulan gegaran tersebut.

"Pasukan bomba menerima panggilan berhubung gegaran tersebut pada jam 10.40 dan tiga pasukan bersama tiga jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu digerakkan ke bangunan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), Wisma Wanita dan Menara Kinabalu.

"Maklumat yang diterima kakitangan dan orang awam telah keluar dari bangunan tersebut dan berkumpul di tempat berkumpul dan memohon pasukan bomba untuk hadir bagi membuat pengesahan keselamatan di bangunan tersebut," katanya.

Mengulas mengenai gempa bumi tersebut, Pakar Geologi, Profesor Dr Felix Tongkul berkata, kejadian tersebut tidak akan memberi impak kepada Sabah.

"Saya fikir tidak, sebab pusat gempa bumi agak jauh dan kedudukan fokusnya sangat dalam," katanya.

Jabatan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam kenyataannya memaklumkan gempa bumi berukuran 6.6 magnitud itu direkod berlaku di kawasan 154 kilometer Tenggara dari Bandar Isabela, Filipina, dengan kedalaman 632 kilometer.

Gegaran daripada hasil gempa bumi tersebut menyebabkan ia dirasai di sekitar negeri ini dan Labuan namun tiada ancaman tsunami dikesan kepada Malaysia.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!