Arahan kosongkan kerusi ahli Parlimen bertentangan Perlembagaan Persekutuan

residen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin mengesahkan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul menolak permohonan parti itu supaya kerusi enam ahli Parlimennya yang berpaling tadah dikosongkan.
residen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin mengesahkan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul menolak permohonan parti itu supaya kerusi enam ahli Parlimennya yang berpaling tadah dikosongkan.
A
A
A

PUTRAJAYA - Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul didakwa memberi alasan arahan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) agar lima bekas ahli Parlimennya yang berpaling tadah mengosongkan kerusi bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Berdasarkan surat balas terhadap permohonan Ketua Whip Bersatu, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee supaya kerusi berkenaan dikosongkan yang dikongsikan pemimpin politik yang enggan namanya disiarkan kepada Sinar Harian, Johari memberi alasan tersebut sebagai asas ia ditolak.

Menerusi surat balas Johari kepada Ronald itu juga, beliau turut memutuskan permohonan Bersatu juga dilihat menafikan hak kelima-lima ahli Dewan Rakyat di bawah Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat serta Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952.

Lima ahli Parlimen terbabit ialah Tanjong Karang, Datuk Zulkafperi Hanapi; Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang); Zahari Kechik (Jeli); Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang); Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar).

Mengenai permohonan untuk mengembalikan kedudukan kelima-lima ahli Parlimen tersebut di Dewan Rakyat pula, Johari menerusi surat tersebut berkata mereka masih berada di blok pembangkang.

Dalam pada itu, menerusi surat balas berasingan berkaitan permohonan Bersatu untuk pengosongan kerusi terhadap Datuk Suhaili Abdul Rahman sebagai penyandang kerusi Parlimen Labuan, juga ditolak.

Antara alasan yang dikemukakan Johari adalah tidak mahu merosakkan kepentingan pihak berkaitan berikutan satu pemfailan guaman berhubung Bersatu dan status keahlian telah dibuat di Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Sementara itu, usaha Sinar Harian untuk mendapatkan pengesahan Johari berhubung surat yang tular itu tidak berhasil apabila panggilan tidak dijawab.

Artikel Berkaitan:

Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama ahli Parlimen pembangkang mengadakan sidang akhbar tergempar pada Rabu dan mengesahkan Johari menolak permohonan parti itu.

Beliau menyifatkan Johari mengemukakan alasan dangkal dan tafsiran songsang sedangkan ia jelas bercanggah dengan peruntukan tersurat dan tersirat Perkara 49A(3) Perlembagaan Persekutuan.

Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu berkata, pihaknya akan menggunakan saluran mahkamah bagi mencabar keputusan Johari.

Bersatu pada 12 Jun menghantar notis keahlian terhenti secara serta-merta kepada enam wakil rakyat yang didakwa melakukan ketidakpatuhan mengikut Fasal 10.4 perlembagaan parti itu.

Ia susulan mereka gagal menjawab surat arahan Mesyuarat Pimpinan Tertinggi (MPT) untuk menzahirkan ikrar taat setia kepada parti.

April lalu, Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) meluluskan permohonan pindaan Perlembagaan Bersatu yang membolehkan parti itu mengosongkan kerusi enam ahli Parlimen yang bertindak memberi sokongan kepada pihak lawan.

Pindaan membabitkan Perkara 10 perlembagaan parti tersebut dibuat selepas mendapat sokongan 1,956 perwakilan yang hadir pada Perhimpunan Agung Khas di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) Selayang sebelum itu.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!